KUALA TERENGGANU: Seorang buruh ladang sawit dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis supaya tidak ditangkap untuk melakukan ujian saringan air kencing.
Tertuduh, Radzali Bahari, 41, turut berdepan hukuman penjara 10 bulan lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Ayer Puteh di daerah Kemaman, jam 4 petang pada 12 Julai lalu.
Suapan itu sebagai dorongan supaya tidak ditangkap untuk dijalankan ujian saringan awal air kencing. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula daripada tarikh sabitan dan denda RM10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan wang RM200 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.