Selasa, 2 Ogos 2022 | 11:59am
Sebahagian daripada bakal jemaah Haji terkandas membuat laporan polis selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan, baru-baru ini. - Foto fail
Sebahagian daripada bakal jemaah Haji terkandas membuat laporan polis selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan, baru-baru ini. - Foto fail

Kerugian penipuan visa furada cecah RM5.67 juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat Ahad lalu membabitkan kerugian lebih RM5.67 juta.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata laporan yang diterima setakat 31 Julai membabitkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 52 membabitkan kerugian kira-kira RM2.3 juta, diikuti Selangor dengan 33 laporan membabitkan kerugian RM966,100.

Sementara itu, 18 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta diterima di Pahang manakala tujuh laporan di Johor dengan kerugian RM226,500 dan masing-masing enam laporan diterima di Kelantan dan Perak membabitkan kerugian keseluruhan RM483,000.

"Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 dan Terengganu dua laporan babitkan kerugian RM76,000 manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang melibatkan kerugian RM48,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, sebanyak 23 kertas siasatan telah dibuka dengan lima daripadanya akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Lima kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pihak AGC oleh Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

"Dalam pada itu, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan di beberapa negeri lain, yang mana keseluruhan 23 kertas siasatan dibuka di 11 negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini," katanya.

Katanya, semua laporan polis berhubungan kes itu membabitkan tiga agensi pelancongan iaitu Syarikat Al-Amin Umrahaj Management & Services, UC Travel Sdn Bhd dan Destinasi UC Resources.

Pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan yang menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji.

Berikutan itu, polis menahan lima individu terdiri dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun dalam serbuan di ibu negara kira-kira jam 9 malam, pada 8 Julai lalu.

Berita Harian X