ALOR SETAR: Sepasang suami isteri buntu untuk menampung kos rawatan anak mereka yang disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.
Ibu kanak-kanak berusia dua tahun itu, Intan Shakira Azhar, 25, berkata suaminya dulu bekerja sebagai mekanik, namun dibuang kerja kerana banyak mengambil cuti untuk menjaga anak sakit.
"Saya buntu memikirkan masalah kewangan kami. Anak disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat, suami pula dibuang kerja.
"Suami kini mengutip barangan elektrik yang dibuang dan membaikinya untuk dijual semula. Wang jualan inilah yang digunakan untuk makan minum kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Seri Gemilang, di sini, hari ini.
Intan Shakira berkata, anak tunggal mereka, Muhammad Hadi Rafie Muhammad Khidhir, dua tahun, disahkan menghidap kanser pada April lalu dan mereka berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatannya.
Beliau berkata, sejak itu juga mereka tidak dapat membayar sewa rumah, yang kini sudah tertunggak beberapa bulan.
Bercerita lanjut, Intan Shakira berkata, anaknya dikesan menghidap kanser apabila demam berpanjangan sehingga sebulan, sakit perut serta sembelit dan menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
"Doktor beritahu usus anak tersumbat dan diberi ubat sebelum dibenarkan pulang. Tetapi, kemudian kami dapati ada ketulan di bahagian pinggang dia dan daripada ujian, doktor mengesahkan ketulan itu adalah kanser.
"Selain itu, darahnya juga tidak normal dan dia dirujuk ke HPP untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, anaknya sudah menjalani tujuh kali rawatan kemoterapi di HPP dan doktor mengesahkan kanser sudah merebak ke tulang paha kanan dan kedua-dua lutut.
"Doktor kata anak perlu jalani tambahan empat hingga lima kali kemoterapi. Namun disebabkan kekangan kewangan, kami terpaksa berhutang dengan hospital.
"Untuk ke hospital pun, kami terpaksa meminjam kereta kawan. Anak pula hanya minum susu formula khas yang agak mahal dan perlu dibeli dua minggu sekali kerana selepas kemoterapi dia tidak berselera makan," katanya.
Sementara itu, Cancer Survivor Malaysia (CSM) menghulurkan sumbangan wang tunai kepada keluarga itu, yang disampaikan Pengerusinya, Zuraini Kamal.