Isnin, 1 Ogos 2022 | 12:45pm
 Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Lindungi populasi, selamat nyawa perkara patut dilakukan - MMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong penuh dasar Generation End Game (GEG) atau generasi penamat yang antara lain bagi melindungi kesihatan populasi dan menyelamat nyawa.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) wajar meneruskan pelan cadangan pelaksanaan GEG berikutan sokongan pelbagai pihak yang melihat implikasinya mampu meringankan beban sistem kesihatan pada masa depan.

"Kami faham ada kumpulan industri tertentu yang mungkin tidak gembira dengan langkah ini tapi kami percaya inilah masanya rakyat memberi keutamaan kepada gaya kehidupan sihat dan sejahtera.

"Biarpun ada dakwaan ia akan memberi kesan kepada ekonomi, setiap pihak perlu faham bahawa isunya bukan larangan serta merta merokok dan vape tetapi demi memastikan generasi akan datang tidak terkesan dengan amalan ini.

"Dari segi ekonomi, negara bakal dapat manfaatnya apabila rakyat tidak menanggung beban dijangkiti pelbagai penyakit berkait penggunaan tembakau termasuk masalah keradangan selaput paru-paru kesan mengguna e-rokok atau vape (EVALI)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, idea utama di sebalik GEG adalah untuk mengekang ketagihan terhadap produk terbabit, sekali gus memastikan pencegahan sebagai langkah terbaik.

"Kita harus menghalang ketagihan awal dengan melarang generasi muda mengamalkan tabiat tidak sihat ini. Kita tahu malah lihat sendiri remaja seawal usia 14 tahun sudah cuba berjinak-jinak dengan rokok dan produk vape.

"Walaupun dengan mengharamkan penjualan rokok kepada 18 tahun dan ke bawah, kita masih tidak mampu menghalang generasi baharu daripada merokok.

"Dengan pelaksanaan yang betul, selain penguatkuasaan dan sokongan masyarakat, kami percaya GEG akan lebih berkesan dalam mengekang lebih ramai anak muda menjadi perokok dan pengguna vape," katanya.

Dr Kar Chai berkata, justeru orang awan terutama ibu bapa digesa untuk menyokong GEG demi masa depan anak mereka kerana rawatan bagi penyakit serius disebabkan merokok atau vape memberikan kesan emosi dan juga kewangan.

"Kepada semua ahli Parlimen, jangan kecewakan rakyat. Kami percaya, selepas melalui dua tahun pandemik, kebanyakan rakyat bersetuju bahawa menjaga dan mengekalkan kesihatan adalah penting. Lindungi kesihatan diri dengan menyokong GEG," katanya.

Minggu lalu RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu juga mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Berita Harian X