Isnin, 1 Ogos 2022 | 12:35pm

Pengarah yayasan tak mengaku 11 pertuduhan salah guna wang

BUTTERWORTH: Seorang pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini atas 11 pertuduhan menyalahgunakan wang milik yayasan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM86,000.

Tertuduh, M Govindarajoo, 65 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Govindarajoo didakwa secara curang telah menyalahgunakan harta iaitu wang keseluruhan berjumlah RM86,000 kepunyaan Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad, Taman Inderawasih , Jalan Chain Ferry dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 25 Ogos hingga 26 Ogos 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Govindarajoo juga mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan pilihan iaitu yang dilakukan pada tempat dan tarikh serta jumlah yang sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Mohd Afif memohon kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan RM50,000 terhadap tertuduh dan mengenakan syarat tambahan antaranya melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat serta menyerahkan pasport hingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan dia yang bekerja sebagai perunding tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menanggung tiga anaknya yang masih bersekolah termasuk dua yang sedang melanjutkan pelajaran.

Govindarajoo turut memaklumkan bahawa dia tanpa ingkar sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya terhadap SPRM berhubung kes ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, tertuduh juga diarah untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan menyerahkan dokumen perjalanan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 1 September depan untuk lantikan peguam.

Seorang pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth atas 11 pertuduhan menyalahgunakan wang milik yayasan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM86,000. - Foto NSTP/Mikail Ong
Seorang pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth atas 11 pertuduhan menyalahgunakan wang milik yayasan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM86,000. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X