Isnin, 1 Ogos 2022 | 11:55am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Generasi muda sambut baik penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Usaha bagi meluluskan dan menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 perlu mendapat sokongan semua pihak, terutama Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ia perlu bagi menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat yang harus faham kerana kesan negatif ketagihan nikotin akibat merokok dan menghisap vape dari segi ekonomi dan sosial adalah sangat tinggi.

Selain itu, RUU berkenaan turut memberi banyak manfaat, termasuk untuk melahirkan generasi bebas merokok, manakala perbelanjaan rawatan diperuntukkan kerajaan terhadap pesakit akibat merokok juga akan berkurangan.

Justeru, sokongan kepada pelaksanaan RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat minggu lalu dengan perbahasannya dijangka minggu ini, sekali gus dapat mengubah masa depan kesihatan generasi akan datang yang bebas daripada penyakit akibat ketagihan nikotin.

RUU berkenaan menggariskan mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya akan dilarang memiliki atau menghisap produk tembakau dan rokok elektronik yang dinamakan generasi penamat (GEG).

Pekerja swasta, Wan Ashfan Wan Abdillah, 40, yang berharap tidak ada Ahli Parlimen menentang RUU berkenaan, berkata semua pihak terutama penggubal undang-undang di Dewan Rakyat perlu lebih profesional dan rasional.

"Ini kerana isu ini membabitkan masa depan Keluarga Malaysia dan mungkin juga anak cucu mereka sendiri. Tanyalah pendapat rakyat mengenai perkara ini kerana ia lebih relevan berbanding segelintir Ahli Parlimen yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri dan menentangnya, kalau ada.

 Hapus pengaruh rokok 

"Usaha RUU ini amat baik kerana sekurang-kurangnya kita dapat menghapuskan pengaruh rokok dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. Rata-rata mereka yang ada anak kecil juga seolah-olah tidak senang dengan situasi perokok di kedai makan umpamanya.

"Kita sendiri nak pastikan anak selamat daripada asap rokok, jadi memang langkah itu amatlah terbaik untuk masa depan anak saya dan orang lain juga," katanya.

Akauntan, Chin Weng Kit, 30, mengakui RUU itu mungkin agak sukar untuk dilaksanakan berdasarkan budaya masyarakat yang ramai merokok, namun untuk memastikan tabiat buruk itu dapat dihapuskan, beliau mengesyorkan cukai tinggi dikenakan terhadap produk berkenaan.

"Laksanakan juga cukai yang tinggi kepada pengusaha vape kerana ia akan memberi kesan kepada penjualan produk itu. Adakan kempen mendidik di sekolah kerana saya yakin mesti ada saluran lain bagi golongan ini untuk mendapatkan rokok atau vape secara tidak sah.

"Semua sudah tahu kesan baik dan buruk akibat ketagihan rokok atau vape, justeru kita perlu pastikan generasi akan datang tidak terjebak dan menjadi perokok tegar. Marilah kita bersama-sama memastikan kejayaan RUU ini," katanya.

Bagi ahli perniagaan, Nadia Mohd Adnan, 29, mana-mana Ahli Parlimen yang menentang RUU itu sepatutnya tampil dengan penyelesaian untuk situasi menang-menang, bukan sekadar menentang sahaja.

Beliau juga yakin sekiranya ditanya kepada rakyat, mereka pasti akan bersetuju mengenai pelaksanaan RUU berkenaan dan mungkin ia akan berjaya dilaksanakan secara berperingkat.

"Bagaimanapun, sebaik-baiknya mereka (Ahli Parlimen) sokong kerana ia langkah pertama untuk mengelakkan generasi muda terjebak dengan ketagihan merokok, seterusnya dibimbangi terjebak dengan najis dadah.

"Kalau nak menentang sekali pun, tampil dengan idea bagaimana nak mengurangkan pengaruh merokok ini kerana saya yakin usaha ini perlu digembleng bersama, bukannya dijadikan satu permainan politik.

"Bagaimanapun dalam menyelesaikan isu tabiat merokok, semuanya bermula dari diri dan juga didikan dari rumah. Ibu bapa berperanan memastikan anak-anak yang akan menjadi generasi akan datang, bebas merokok," katanya.

Penjawat awam, Nor Azian Hassan, 40, berharap Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan untuk kebaikan generasi muda Malaysia pada masa depan kerana ia juga memenuhi Agenda Sihat Nasional (ASN).

"RUU ini amat bertepatan dengan ASN, selain mengambil kira juga industri memandangkan masih ada generasi akan kekal merokok. Saya yakin semua Ahli Parlimen tahu agenda itu dan faham apa ingin dibawakan kerajaan kepada setiap rakyat dalam aspek kesihatan awam dan peribadi.

 Pertikai pihak menentang  

"Saya tidak faham apakah justifikasi jika ada mana-mana Ahli Parlimen yang menentang RUU ini, Mungkin mereka juga perokok tegar, tetapi cuba fikir masa depan generasi muda yang juga anak cucu mereka suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, ahli farmasi, Tan Wei Shen, 31, berkata sudah cukup banyak bukti untuk menunjukkan manfaat tidak merokok atau menghisap vape, tabiat yang memang buruk untuk kesihatan dan akan merugikan setiap orang.

"Selaku ahli farmasi, saya memang inginkan generasi yang tidak terbabit dengan merokok atau hisap vape lagi. Kasihan mereka yang masih muda kerana bila tua, pasti berdepan banyak penyakit," katanya.

Pegawai bank, Kavi Raj, 25, mengakui kemungkinan ada segelintir pihak menentang RUU itu dan mengaitkannya dengan hak asasi manusia.

"Mungkin sukar untuk menghapuskan sepenuhnya tabiat merokok, namun mungkin ada kesan positifnya jika RUU ini dilaksanakan secepat mungkin," katanya menasihatkan generasi sekarang melihat sebenarnya ada banyak kebaikan jika tidak merokok.

Pandangan sama juga daripada akauntan, Foo Wei Jen, 25, yang melihat RUU berkenaan fokus kepada kesihatan generasi muda dan tidak boleh tidak, semua pihak harus bersetuju.

"Generasi muda yang merokok khususnya remaja, mereka tidak begitu ambil berat kesan ketagihan merokok itu, namun menerusi usaha kerajaan, mereka boleh menilai kesannya pada kemudian hari.

"Bagi generasi baharu, lihatlah dari sudut positif kerana ia demi kesihatan dan banyak penjimatan boleh dilakukan. Usaha memastikan generasi bebas merokok ini memperlihatkan amalan gaya hidup sihat yang perlu disokong setiap orang," katanya.

Berita Harian X