Isnin, 1 Ogos 2022 | 11:38am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

'Ahli Parlimen wajib sokong penuh'

Kuala Lumpur: Mencegah potensi mudarat yang lebih besar pada masa depan khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja disebabkan ketagihan merokok adalah faktor terpenting yang perlu dipertimbangkan Ahli Parlimen apabila membahas dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Pakar perubatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai amat berharap RUU itu tidak dilengahkan dan mahu semua Ahli Parlimen memberi sokongan penuh apabila ia dibaca kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini dalam usaha merealisasikan hasrat negara bebas tembakau menjelang 2040.

Oleh kerana RUU itu bertujuan mewujudkan kelompok rakyat yang bebas rokok membabitkan mereka yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007, seharusnya tidak ada sebab usaha itu tidak mendapat sokongan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kementerian Kesihatan maklum bahawa usaha mencegah tabiat merokok perlu dilakukan secara berhati-hati tetapi dengan fokus utama ialah mewujudkan generasi pemisah daripada tabiat itu memandangkan pelbagai kempen yang dilakukan sebelum ini tidak menunjukkan kesan yang ketara.

Dapat sokongan masyarakat Justeru, komitmen KKM menggubal undang-undang khusus menghalang tabiat merokok menerusi dasar Generation End Game (GEG) atau generasi penamat menjelang 2040 mendapat pujian.

Sentimen terhadap RUU itu amat positif iaitu hampir semua masyarakat sivil mahu ia dilaksanakan bagi mengurangkan rakyat Malaysia yang merokok pada masa depan.

Menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif.

Di Malaysia, kira-kira 400 kematian akibat rokok direkodkan setiap minggu.

Pensyarah Kanan dan Pakar Berhenti Merokok, Kuliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed berharap pihak industri tidak campur tangan dalam proses meluluskan RUU itu dengan semua ahli Parlimen digesa menzahirkan pendirian kukuh menyokongnya.

"Jika ada campur tangan industri, maka akan ada dakwaan kononnya rokok elektronik mengurangkan mudarat berbanding rokok konvensional. Menurut mereka, bahan kimia dalam rokok biasa sekitar 7,000 jenis, ia berbahaya dan menyebabkan kanser, berbanding rokok elektronik cuma sekitar 2,000 bahan kimia.

"Ini satu pendapat yang sangat lemah dari segi saintifik. Naratif seperti ini, sama ada daripada masyarakat, ahli perniagaan, hatta Ahli Parlimen tidak boleh diterima.

"Begitu juga jika ada yang bandingkan dengan negara lain, seperti ada pihak mencadangkan penggunaan rokok elektronik seperti dibenarkan di New Zealand, sedangkan kita perlu sedar peratusan perokok mereka amat rendah, sedangkan di Malaysia peratusan perokok masih tinggi," katanya kepada BH.

Beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat cakna keperluan untuk negara mengaplikasikan strategi baharu bagi membendung amalan dan ketagihan merokok yang semakin membimbangkan.

"Kita perlu ada akta khusus yang bebas dan baharu untuk mengawal semua produk berkaitan tembakau, termasuk rokok dan vape.

"Pelbagai strategi dilaksanakan sebelum ini, termasuk memperluas kawasan bebas atau larangan merokok dan meningkatkan cukai tidak memberi kesan. Jadi, GEG adalah strategi yang lebih drastik," katanya.

Selamatkan anak bangsa

Beliau berkata, tanggungjawab setiap Ahli Parlimen adalah membuktikan mereka benar-benar serius untuk menyelamatkan anak bangsa daripada gaya hidup tidak sihat menerusi sokongan kepada RUU berkenaan.

Bagi Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan, alasan diberikan sesetengah pihak, termasuk Ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU itu sama sekali tidak boleh diterima dan sangat remeh berbanding keperluan menyokongnya, demi menyelamatkan nyawa kira-kira dua hingga tiga juta rakyat.

"Kita mendengar pelbagai jenis alasan mengapa sesetengah pihak tak sokong RUU ini, apa yang dilihat secara jelas, dakwaan mereka tidak ada kaitan pun dengan isu pokok. Maknanya, kebimbangan mereka dipengaruhi oleh orang dalam industri tembakau atau pihak lain.

"Saya lihat tak ada alasan munasabah untuk seseorang Ahli Parlimen untuk tidak menyokong RUU berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen wajar bertanggungjawab penuh bagi memastikan kesejahteraan rakyat yang diwakili mereka.

"Apa yang paling utama adalah keselamatan diri, nyawa dan keluarga kita, jadi inilah tugas penting perlu dijalankan seorang Ahli Parlimen. Kalau anda tidak menjalankannya dengan betul, iaitu sokong undang-undang yang membela kehidupan dan menyelamatkan nyawa anak kita, apalah gunanya," katanya.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin, berkata perokok dan pengguna vape kelompok B40 akan berdepan implikasi terbesar merangkumi isu kesihatan fizikal dan mental, jika akta ini tidak diluluskan.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata, ini mengambil kira majoriti perokok dan pengguna rokok elektronik adalah dalam kelompok berkenaan.

"Penggiat industri tembakau memang menyasarkan golongan B40, atas banyak faktor, termasuk senang dipengaruhi, tekanan rakan sebaya dan tahap pendidikan yang rendah.

"Ia juga akan turut memberi kesan buruk kepada pelajar sekolah kerana vape kini boleh dibeli di kedai runcit dan platform e-dagang," katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, senario tidak sihat ini sudah menular dalam kalangan murid sekolah yang dikenal pasti menggunakan vape seawal usia lapan tahun, sekali gus menyumbang kepada pelbagai masalah sosial, termasuk ponteng sekolah dan masalah disiplin," katanya.

Presiden pertubuhan komuniti Ayah Jangan Merokok, Norman Naim, melihat akta itu berupaya membanteras secara menyeluruh penggunaan rokok dan pelbagai peranti elektronik yang dijual secara terbuka di pasaran.

"Misalnya vape, mudah didapati dan dijual tanpa lesen. Justeru, tentu kanak-kanak mudah terdedah dan tertarik kepada peranti ini, apatah lagi jika yang menggunakannya dalam kalangan rakan sebaya mereka," katanya.

Berita Harian X