Ahad, 31 Julai 2022 | 5:23pm
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

MQA-AQVN jalin kerjasama, sasar tarik pelajar benua Afrika

Kuala Lumpur: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyasarkan jalinan kerjasama dengan The African Qualifications Verification Network (AQVN) bagi menarik minat pelajar dari benua Afrika untuk menyambung pengajian dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata kerjasama itu akan melebarkan sayap pendidikan tinggi Malaysia ke benua Afrika yang dirancang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, kerjasama itu juga bakal menyaksikan kesetaraan pengiktirafan antara universiti di bawah naungan AQVN dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

"Ini satu daripada agenda signifikan kepada MQA kerana pada tahun ini, kami menyasar untuk memperkukuh reputasi pendidikan tinggi Malaysia di pasaran Afrika yang berpotensi besar untuk menghantar pelajar ke Malaysia lebih-lebih lagi melalui kerjasama AQVN yang menaungi 30 negara di bawahnya.

"Dengan kualiti pendidikan tinggi negara yang baik di persada global, diyakini agenda ini akan dapat dijayakan seterusnya membantu mencapai hasrat YBM untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa pada tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bersama Pengerusi AQVN, Mirriam M A Chiyaba yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zambia Qualifications Authority, selepas Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi untuk Naib Canselor dan Ketua Institusi Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) Commonwealth of Learning (COL) dan Asia eUniversity (AeU), di sini, semalam.

Mohammad Shatar bertindak sebagai moderator pada sesi keenam dengan tajuk 'Membina Ketahanan' yang disertai tiga panelis iaitu Naib Canselor Allama Iqbal Open University (AIOU) di Pakistan, Prof Dr Zia Ul-Qayyum; Pengerusi Tertiary Education Commission (TEC) di Sierra Leone, Prof Aliyageen Alghali dan Naib Canselor National University of Lesotho (NUL) di Lesotho, Prof Olusola Fajana.

Mengulas persidangan itu, Mohammad Shatar berkata, pelbagai isu dibincang dalam suasana pengajian tinggi tidak menentu dan sukar dijangkakan, serta bagaimana pihak universiti bertindak balas dalam mendepani isu dihadapi.

"Pendidikan fleksibel yang menjadi trend terkini pengajian tinggi juga menjadi topik hangat dibincangkan termasuk penawaran Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan program Micro-credentials," katanya.

Berita Harian X