Ahad, 31 Julai 2022 | 4:40pm
Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR PEMADAM Kebangsaan, Datuk Jamelah A Bakar
Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR PEMADAM Kebangsaan, Datuk Jamelah A Bakar

Bendung salah guna rokok, vape sejak awal

KUALA LUMPUR: Ketagihan rokok dan vape adalah pembuka laluan kepada tabiat penyalahgunaan dadah dan penyalahgunaan bahan yang berkaitan perlu dibendung daripada awal.

Susulan itu, semua ahli parlimen digesa menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi menjamin kesihatan awam dan melindungi rakyat daripada ancaman bahaya produk itu.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, Datuk Jamelah A Bakar, berkata sudah tiba masanya negara mempunyai RUU khas kepada Produk Tembakau dan Tabiat Merokok, bukannya dimasukkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sedia ada.

Beliau berkata, RUU yang dibentang itu untuk kepentingan demi kesihatan awal masyarakat terutama generasi muda.

"PEMADAM menyokong sepenuhnya RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 serta pelaksanaan peruntukkan Generasi Penamat (GEG) bagi melarang aktiviti merokok dan membeli rokok termasuk rokok elektronik kepada mereka yang lahir 1 Januari 2007 dan seterusnya.

"PEMADAM menyedari rokok dan vape adalah pembuka laluan kepada tabiat penyalahgunaan dadah. Tabiat ketagihan kepada nikotin dan penyalahgunaan subtans yang berkaitan perlu dibendung daripada awal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Selain itu, pengawalan pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

RUU berkenaan turut mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

Mengulas lanjut, Jamelah berkata, kemunculan produk merokok alaf baharu seperti rokok elektronik dan vape memberi impak negatif kepada kesihatan.

Katanya, hal itu akan terus berlarutan dan membebankan sistem kesihatan negara, seterusnya mengancam kesihatan rakyat termasuk mereka yang bukan perokok.

"Dianggarkan kos bagi merawat penyakit masalah keradangan selaput paru-paru (EVALI) menelan kos RM369 juta menjelang 2030.

"Penggunaan rokok elektronik dan vape juga dilaporkan berlaku dalam kalangan remaja berumur 18 tahun ke bawah.

"Berdasarkan kajian Tobacco and E-Cigarette Survey among Malaysia Adolescents (TECMA) oleh Institut Kesihatan Umum pada 2016, terdapat 330,000 orang atau 15.2 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun (lelaki 27.8 peratus dan perempuan 2.6 peratus) adalah pengguna rokok elektronik dan vape.

"Pengguna rokok elektronik dan vape dewasa meningkat daripada 3.2 peratus pada 2016 kepada 4.9 peratus pada 2019. Jika dikira berdasarkan jumlah penduduk, pengguna rokok elektronik atau vape berganda daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang dalam tempoh tiga tahun saja," katanya.

Berita Harian X