Ahad, 31 Julai 2022 | 2:27am
(Gambar fail) Pengarah MINDA-UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali. - FOTO NSTP
(Gambar fail) Pengarah MINDA-UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali. - FOTO NSTP

Kerajaan digesa rasionalisasi subsidi, elak status fiskal tergugat

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menstruktur semula atau merasionalisasi tatacara pemberian subsidi, bantuan serta kaedah kawalan harga, berikutan kebimbangan akan kemungkinan jumlah subsidi mencecah hampir RM80 bilion tahun ini yang dilihat sebagai tertinggi dalam sejarah.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata kerajaan mesti mengambil langkah berkenaan, susulan jumlah subsidi diunjurkan itu adalah tidak mampan dan menggugat kedudukan fiskal.

Selain itu, beliau berkata, rakyat mesti diberi penerangan jelas dan tepat berhubung perkara terbabit, manakala rakyat pula perlu bersedia membuat perubahan bersesuaian.

"Kawalan harga bawah harga pasaran atas hasrat 'membantu rakyat' bukanlah percuma. Sebagai contoh, harga pasaran RON95 ialah RM4.70 seliter. Harga di pam ialah RM2.05 seliter.

"Bagi setiap liter yang diisi oleh semua penduduk Malaysia, kerajaan membayar RM2.65. Subsidi bahan api saja mencecah RM37 bilion, menyamai hampir pembinaan 74 hospital. Semua belanja subsidi bersifat hangus," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, malam tadi.

Bagaimanapun, Noor Azlan menjelaskan, merasionalisasi subsidi bukan menghapus subsidi.

"Sebaiknya, subsidi dan bantuan lebih bersasar yang mengambil kira tahap pendapatan, tanggungan serta lokasi. Mesti ada pegangan dasar untuk memperkenalkan subsidi. Ada caranya.

"Proses semakan harga kawalan mesti difahami semua, semakan berjadual dan diikat pada pergerakan harga pasaran. Jihad dengan peniaga yang memanipulasikan harga.

"Tiada kerajaan di dunia yang berupaya menidakkan kuasa pasaran sepenuhnya. Berubah dari harga murah kepada harga adil," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan menjangka peruntukan untuk perbelanjaan subsidi, termasuk ayam dan petrol, boleh mencecah hampir RM80 bilion tahun ini, iaitu lebih besar daripada peruntukan pembangunan.

Zafrul dipetik berkata, peruntukan subsidi pada mulanya hanya diunjurkan sebanyak RM77 bilion, namun ditingkat bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasar.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, subsidi yang diunjurkan hampir RM80 bilion itu adalah melebihi anggaran perbelanjaan pembangunan (DE) 2021 berjumlah RM71 bilion.

Malah, beliau berkata, ia juga hampir menyamai jumlah emolumen, gaji keseluruhan anggota perkhidmatan awam untuk setahun sebanyak RM84.5 bilion.

"Dalam kiraan mudah saya (andaian RM500 juta untuk membina sebuah hospital 300 katil), ia menyamai 160 hospital baharu!

"Dalam Tinjauan Fiskal 2021, anggaran hasil kerajaan ialah RM236.9 bilion dan perbelanjaan mengurus (OE) ialah RM236.5 bilion. Jurang Hasil-OE yang mengecil membawa maksud status fiskal tergugat. Bagi saya - status fiskal yang 'merbahaya'.

"Umpama gaji bulanan hanya cukup-cukup nak bayar belanja urusan harian; makan-minum, minyak kereta, sewa rumah, belanja keluarga, bil air-elektrik, hutang bank, dan sebagainya.

"Untuk menampung perbelanjaan pembangunan (DE), tiada pilihan, kerajaan perlu berhutang. Kalau berterusan begini, hutang semakin meningkat dan defisit fiskal semakin besar. Tidak mampan," katanya.

Beliau berkata, subsidi dan bantuan pastinya tetap diperlukan kerana kerajaan bertanggungjawab memastikan nasib rakyat terbela.

Namun, katanya, program subsidi dan bantuan kerajaan mesti dilaksanakan dengan cekap, berkesan, mencapai matlamat serta tidak menggugat status fiskal.

"Selain itu, juga tidak mewujudkan sikap kebergantungan yang terlalu tinggi dan berpanjangan serta kelalian tingkah laku rakyat untuk bertindak balas kepada perubahan harga," katanya.

Berita Harian X