Sabtu, 30 Julai 2022 | 2:55pm
 Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah membaiki jalan raya yang rosak susulan banjir akibat hujan lebat selama tiga jam yang turut melimpah ke kawasan penempatan penduduk. - BERNAMA
Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah membaiki jalan raya yang rosak susulan banjir akibat hujan lebat selama tiga jam yang turut melimpah ke kawasan penempatan penduduk. - BERNAMA

Semua mangsa banjir Baling kembali ke rumah, dinasihat berwaspada

BALING: Pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan 19 keluarga mangsa banjir di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, dekat sini, ditutup pagi tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan Pertahanan Awam Dzulhaidy Mohd Khalil, berkata PPS yang beroperasi sejak Khamis lalu itu ditutup jam 10 pagi tadi, dengan kebanyakan mangsa mula membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir mulai surut.

"PPS itu dibuka jam 9 malam Khamis lalu menempatkan 58 mangsa daripada 19 keluarga dan semuanya sudah pun dibenarkan pulang hari ini.

"Bagaimanapun kita masih dalam keadaan bersedia dengan unit khemah di PPS berkenaan akan terus ditempatkan di situ buat sementara waktu," katanya.

Mengulas keadaan semasa, Dzulhaidy berkata cuaca di kawasan terbabit mendung pada sebelah pagi tadi dan hujan renyai dilaporkan sekejap kira-kira jam 11 pagi.

Ramlah Abdullah, 58, membersih rumahnya di Kampung Padang Empang di Kupang selepas dilanda banjir kilat. - NSTP/ SAFURI KAMARUDIN.
Ramlah Abdullah, 58, membersih rumahnya di Kampung Padang Empang di Kupang selepas dilanda banjir kilat. - NSTP/ SAFURI KAMARUDIN.

Sementara itu, katanya air di Sungai Kupang khususnya di Jambatan Bailey berada pada paras normal iaitu sedalam 0.5 meter.

"Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca mendung dan hujan pada petang, justeru penduduk dinasihatkan segera berpindah ke PPS sekiranya paras air sungai naik," katanya.

Khamis lalu, beberapa kampung di Kupang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira tiga jam bermula 2 petang, menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan aliran menjadi deras serta melimpah ke penempatan penduduk.

Sementara itu, di Kampung Sungai Toh Pawang Luar, Semeling di daerah Kuala Muda, sejumlah 16 kediaman dilanda banjir kilat dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata, hujan lebat lebih satu jam menyebabkan kawasan rendah di kampung terbabit dinaiki air.

"Masalah sistem saliran yang kurang sempurna dikenal pasti turut menyumbang kepada berlakunya banjir kilat di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, tiada PPS dibuka dan air banjir surut sepenuhnya," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X