Sabtu, 30 Julai 2022 | 11:15am
Ramlah membersih rumahnya di Kampung Padang Empang, Kupang yang dilanda banjir dua hari lalu. - NSTP/Safuri Kamarudin
Ramlah membersih rumahnya di Kampung Padang Empang, Kupang yang dilanda banjir dua hari lalu. - NSTP/Safuri Kamarudin

'Dengar saja bunyi guruh, hati berdebar, terlalu takut'

BALING: "Dengar saja bunyi guruh, hati berdebar kerana terlalu takut," kata Ramlah Abdullah.

Ramlah, 58, dari Kampung Padang Empang, Kupang, di sini juga terkilan setiap kali banjir kerana semua kelengkapan rumah rosak dan mereka juga terpaksa membersihkan kediaman daripada selut serta sampah sarap.

"Letih dan sakit seluruh badan membersih, penat mencuci rumah tempoh hari pun belum reda, kini banjir kali kedua pula. Perit dah tinggal di sini, tak sanggup lagi berpenat lelah dengan selut, lagi pun rasa tidak selamat tinggal di rumah yang ada sekarang.

"Bukan air saja yang masuk, tapi sampah sarap serta selut juga penuh dalam rumah. Habis semua barang rosak tak sempat diselamatkan, yang baru dibeli dan juga sumbangan pelbagai pihak selepas banjir sebelum ini," katanya ketika ditemui.

Khamis lalu, banjir dan kepala air sekali lagi melanda beberapa kampung di Kupang selepas hujan lebat hampir tiga jam.

Ia kejadian kedua selang tiga minggu selepas tragedi yang meragut tiga nyawa, termasuk seorang wanita hamil empat bulan dan memusnahkan puluhan kediaman di daerah ini, awal bulan ini.

Hujan lebat bermula kira-kira jam 2 petang yang berterusan selama tiga jam menyebabkan air Sungai Kupang melimpah sehingga penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai terpaksa menyelamatkan diri dan berpindah.

Air sungai berkenaan dilaporkan mengalir deras selepas dipercayai melimpah dari Gunung Inas, menyebabkan pihak polis mengarahkan laluan di Jambatan Bailey di perkampungan itu ditutup.

Keadaan berhampiran Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Keadaan berhampiran Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Kejadian kepala air yang mengakibatkan air mengalir deras di sungai Kampung Iboi. - Foto tular
Kejadian kepala air yang mengakibatkan air mengalir deras di sungai Kampung Iboi. - Foto tular

Rumah penduduk di Kampung Iboi, Kupang. - Foto tular
Rumah penduduk di Kampung Iboi, Kupang. - Foto tular

Ramlah berkata, mereka tidak lagi berasa selamat tinggal di rumah sekarang kerana setiap kali hujan lebat lebih dua jam, pasti air Sungai Kupang melimpah ke dalam rumah.

"Sejak kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi tempoh hari, air cepat masuk ke dalam rumah sehingga kami tak sempat selamatkan apa-apa barangan kerana arus sangat deras dan cuaca gelap. Air pula melimpah dengan cepat, jadi terpaksa selamatkan diri dulu," katanya.

Ramlah meminta kerajaan negeri dapat menunaikan hasrat mereka yang tinggal berdekatan sungai untuk ditempatkan di petempatan baharu dan selamat, khususnya di kawasan lebih tinggi.

"Kami tak sanggup lagi buang tenaga setiap kali banjir. Kalau dulu, hujan tiga jam pun, air hanya masuk halaman rumah, sekarang tidak boleh jangka," katanya.

"Saya harap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dapat merealisasikan impian penduduk yang sering terjejas banjir untuk petempatan baharu. Rumah kami tidak selamat lagi untuk didiami," katanya.

Salmah Shaari.
Salmah Shaari.

Jirannya, Salmah Shaari, 54, berkata dia enam beranak juga berharap kerajaan negeri dapat mencari tapak baharu yang lebih selamat untuk petempatan semula penduduk di kawasan bersiko.

"Rumah kami tak lagi selamat dan berisiko ditenggelami air sekiranya banjir kerap. Kami sedia berpindah asalkan tempat baharu lebih selamat meskipun tinggal di rumah desa KEDA," katanya.

Jengkaut mengorek pasir mendalamkan Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Jengkaut mengorek pasir mendalamkan Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Che Liah Ramli, 63, membersihkan rumahnya selepas kejadian banjir di Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Che Liah Ramli, 63, membersihkan rumahnya selepas kejadian banjir di Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Berita Harian X