Jumaat, 29 Julai 2022 | 7:52pm

ROS lulus pindaan perlembagaan, UMNO boleh buat pemilihan selepas PRU15

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelulusan diberikan oleh ROS, selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa hari ini.

"ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat).

"ROS juga meminta supaya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu beliau berkata, UMNO diberi pilihan untuk mengadakan pemilihan partinya bagi penggal ini yang sudah ditangguhkan, tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU ke-15 diadakan.

"UMNO merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terbabit dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas berlangsung pada Mei lalu meluluskan usul pindaan itu bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang mempengerusikan PAU Khas ketika itu mengumumkan usul pindaan diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Dengan kelulusannya, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Pindaan itu antara lain menyaksikan peruntukan Fasal 10.16 yang sedia ada dipinda menjadi Fasal 10.16.1 iaitu pemilihan parti sekarang boleh ditangguhkan pada satu masa dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya atau sehingga enam bulan dari PRU.

Susulan pindaan kepada Fasal 10.16 itu, UMNO turut memutuskan untuk meminda Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 dalam perlembagaan partinya.

Berita Harian X