Jumaat, 29 Julai 2022 | 5:05pm

4 termasuk remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis bawah umur

IPOH: Empat lelaki termasuk seorang remaja, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur pada bulan lalu.

Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20; Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21; dan seorang remaja berumur 17 tahun 9 bulan secara bersama dituduh melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa berusia 15 tahun 11 bulan.

Seorang lagi tertuduh, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa merogol mangsa sama secara bersendirian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Azeem, Mohamad Ariff Haikal serta remaja lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 1 hingga 2 pagi 14 Julai lalu di rumah tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Afiq Yan pula dituduh merogol mangsa sama di dalam bilik sebuah rumah beralamat di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi 17 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad, di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Tiga tertuduh yang berdepan pertuduhan melakukan rogol berkumpulan itu diwakili oleh peguam, S Sundarajen, manakala Afiq Yan diwakili dua peguam, iaitu Navin Punj dan Mahajoth Singh.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh remaja bawah umur itu diikat jamin sebanyak RM5,000, manakala Muhammad Azeem dan Mohamad Ariff Haikal masing-masing dibenarkan ikat jamin RM10,000. Afiq Yan pula dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 2 September depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Hari ini, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar atas dua pertuduhan bersubahat dengan empat tertuduh berkenaan, dengan membenarkan dan menyebabkan mangsa sama dirogol di mana kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab persubahatannya.

Empat tertuduh didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur. - NSTP/L MANIMARAN
Empat tertuduh didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur. - NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X