Jumaat, 29 Julai 2022 | 5:01pm
Keadaan berhampiran Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk di Lata Celak, Kampung Iboi di sini, ketika tinjauan selepas kejadian banjir terbaru yang terjadi semalam. - NSTP/Danial Saad

Penempatan baharu untuk mangsa banjir, kepala air

ALOR SETAR: Kerajaan negeri bercadang mencari penempatan baharu kepada mangsa banjir selepas rumah mereka dikenal pasti tidak lagi selamat untuk didiami.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata laporan cadangan tapak penempatan baharu itu dijangka diperolehi daripada Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah pada Rabu depan.

"Sebelum ini kita memang ada rancangan untuk pindahkan keluarga yang rumah mereka berisiko ditenggelami air dan kita memang sedia maklum mengenai perkara ini.

"Cuma kita perlu cari tempat baharu kerana penempatan di Desa KEDA Sadek di Kupang, di sini sudah penuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BERNAMA

Banjir kilat yang melanda sembilan kampung di Mukim Kupang, petang semalam, menjejaskan 75 keluarga membabitkan 300 penduduk.

Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li berkata, kampung terbabit ialah Kampung Iboi, Lata Chelak, Padang Empang, Masjid Iboi, Bendang Padang, Bendang Bechah, Jerai, Hangus dan Bukit Hijau.

Beliau berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 19 keluarga daripada 58 mangsa yang terjejas teruk.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata jumlah keluarga yang akan dipindahkan ke penempatan baharu itu belum ditentukan berikutan kerja-kerja bancian masih dijalankan oleh pihak berwajib.

Katanya, pihaknya sangat berharap penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan berisiko banjir mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah segera sekiranya hujan berlarutan.

Siti Mariam Abdul Isa, 70, (kanan) bersama suaminya Saad Md Piah, 70, yang terlantar lumpuh akibat strok ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, akibat banjir di Mukim Kupang. - NSTP/Danial Saad

Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, akibat banjir di Mukim Kupang. - NSTP/Danial Saad
Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, akibat banjir di Mukim Kupang. - NSTP/Danial Saad

"Penduduk di tepi sungai hendaklah sentiasa berjaga-jaga, ikut arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.

"Jaga anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai terutama ketika cuaca mendung atau hujan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan majlis pecah tanah bagi penempatan baharu 17 buah keluarga mangsa banjir pada 4 Julai lalu dijangka diadakan pada Rabu depan.

Dalam kejadian bencana banjir hamil empat bulan terkorban dan turut memusnahkan 17 buah rumah dan 800 lagi rumah terjejas.

Pada 14 Julai lalu, media melaporkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina rumah baharu untuk 17 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam bencana banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lalu.

Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, akibat banjir di Mukim Kupang. - NSTP/Danial Saad
Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, akibat banjir di Mukim Kupang. - NSTP/Danial Saad

Berita Harian X