Jumaat, 29 Julai 2022 | 11:50am

Banjir Baling: 300 penduduk babitkan 75 keluarga terjejas

BALING: Banjir kilat yang melanda sembilan kampung di Mukim Kupang petang semalam, menjejaskan sekurang-kurangnya 75 keluarga membabitkan 300 penduduk.

Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata kampung terbabit Kampung Iboi, Lata Chelak, Padang Empang, Masjid Iboi, Bendang Padang, Bendang Bechah, Jerai, Hangus dan Bukit Hijau.

Beliau berkata, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 19 keluarga daripada 58 mangsa yang terjejas teruk dalam banjir semalam.

Manakala penduduk yang lain berpindah ke rumah jiran dan air hanya masuk paras 0.5 meter sahaja dan surut sejam kemudian.

Katanya, susulan itu juga jambatan bailey yang dibina terpaksa ditutup untuk sementara kepada lalu lintas.

"Hujan lebat berterusan selama tiga jam dan berlarutan sehingga malam menyebabkan jambatan terpaksa ditutup pada jam 10 malam tadi.

"Arus deras Sungai Kupang sehingga melepasi paras titi itu menyebabkan ia ditutup kepada lalu lintas," katanya.

Badrul Hisham berkata, keadaan cuaca tidak menentu semua mangsa yang berpindah ke PPS tidak dibenarkan pulang ke rumah.

Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Keadaan berhampiran jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk di Lata Celak, Kampung Iboi ketika tinjauan selepas kejadian banjir terbaru yang terjadi semalam. - NSTP/Danial Saad

Anggota Bomba dan Penyelamat Baling melakukan pemantauan terhadap kawasan rumah penduduk sekitar Kampung Iboi yang dinaiki air susulan kejadian kepala air kedua semalam. - Foto ihsan Bomba
Anggota Bomba dan Penyelamat Baling melakukan pemantauan terhadap kawasan rumah penduduk sekitar Kampung Iboi yang dinaiki air susulan kejadian kepala air kedua semalam. - Foto ihsan Bomba

"Semua mangsa perlu akur demi keselamatan mereka bagi mengelakkan kejadian kali kedua berulang.

"Rata-rata rumah mangsa hanya 30 meter sahaja daripada tebing sungai, apabila hujan lebat berterusan lebih dua jam air cepat melimpah," katanya.

Seorang mangsa, Azizah Ahmad, 65, dari Kampung Padang Empang, berkata dia berpindah jam 8 malam tadi selepas air masuk ke rumah sehingga paras tingkap.

Beliau berkata, mereka enam beranak keluar ke dewan yang disediakan bagi mengelak kejadian buruk.

"Cukuplah tragedi pertama yang amat mengerikan dan tidak mahu kejadian kedua berulang.

"Saya mengambil keputusan berpindah segera dan mengambil segala dokumen penting ke tempat selamat," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang, hari ini.

Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Jambatan Bailey yang dibina sementara untuk kegunaan penduduk ditutup sementara di Lata Celak, Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Azizah berkata, dia berharap kerajaan dapat membina penempatan baru seperti rumah melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk penduduk yang terjejas banjir.

"Kami rasa tidak selamat lagi untuk tinggal di kediaman sedia ada.

"Setiap kali hujan lebat hati semakin berdebar kerana trauma dengan kejadian yang berlaku," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Che Putih Ahmad, 54, berkata rumahnya dinaiki air paras satu meter menyebabkan mereka lima beranak berpindah ke PPS yang disediakan.

Beliau berkata, air melimpah dengan cepat selepas hujan lebat lebih tiga jam petang semalam.

"Kami berpindah segera kerana bimbang terperangkap kerana waktu malam.

"Jadi langkah selamat berpindah dan tidak mengambil risiko tinggal di rumah," katanya.

Hujan lebat berterusan selama tiga jam dan berlarutan sehingga malam menyebabkan jambatan terpaksa ditutup pada jam 10 malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Hujan lebat berterusan selama tiga jam dan berlarutan sehingga malam menyebabkan jambatan terpaksa ditutup pada jam 10 malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X