Khamis, 28 Julai 2022 | 5:50pm
 Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah

'JPA perlu berunding dengan CUEPACS segera'

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu berunding secara baik dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung semakan gaji kakitangan kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan setiap lima tahun sekali.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah, bagaimanapun berkata tempoh pandemik COVID-19 yang dilalui dua tahun lalu memungkinkan proses itu ditangguhkan daripada kitaran tahun sepatutnya.

"Saya kurang bersetuju tindakan CUEPACS untuk berpiket kerana mereka sepatutnya berunding secara baik dengan JPA kerana situasi ekonomi negara sedang pulih, kini peralihan ke fasa endemik dan kerajaan tidak gagal membayar gaji kakitangan awam.

"Tetapi apa yang dilakukan itu demi memperjuangkan hak ahli kesatuannya dan amalan semakan gaji untuk penjawat awam bukan perkara baharu yang sepatutnya dilakukan tiga atau lima tahun sekali.

"Semakan gaji itu bukan bermakna kerajaan perlu terus menaikkan gaji kerana semua itu bergantung kepada keupayaan kerajaan, kos sara hidup, tahap inflasi dan lain-lain. Ini kerana ada tempoh ketika semakan gaji, gaji itu tetap kekal," katanya kepada BH, hari ini.

CUEPACS hari ini menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, dilaporkan berkata cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada JPA, namun tiada tindakan diambil.

Borhan berkata, semakan gaji sebelum ini adalah 2015 dan semakan sepatutnya dibuat pada 2020.

"Tetapi saya difahamkan sehingga sekarang, tiada semakan gaji dibuat berikutan pandemik COVID-19, tiada penjawat awam mengalami pemotongan gaji seperti sektor swasta.

"Namun apabila ekonomi semakin pulih, mungkin yang dibuat CUEPACS adalah jalan terakhir mereka untuk meminta kenaikan gaji selepas dua tahun tiada semakan dibuat.

"Apa yang dibuat juga adalah cara menyuarakan kesusahan hidup akibat kenaikan harga barang dan inflasi serta keadaan ekonomi sekarang sudah bertambah baik, mereka berhak menikmati kenaikan seiring keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata, walaupun tindakan itu dilihat berbentuk politik tetapi JPA perlu menyelesaikannya segera kerana ia membabitkan 1.6 juta kakitangan awam dan tindakan piket tidak menyalahi undang-undang.

"Justeru, kedua pihak diharap mengekalkan hubungan baik kerana CEUPACS boleh pada bila-bila masa berbincang dengan JPA dan saya rasa apabila kesatuan itu mengatakan mahu berpiket, ia akan memberi pengaruh kepada kerajaan.

"Ini kerana bilangan penjawat awam ramai dan jumlah itu tiga kali ganda yang akan memberi kesan kepada pilihan untuk undi pilihan raya," katanya.

Katanya, isu penjawat awam juga sering menjadi manifesto politik dan wajar untuk JPA serta CUEPACS mengambil pendekatan terbaik untuk situasi menang-menang.

Berita Harian X