Khamis, 28 Julai 2022 | 8:52am
NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Gulung, undi RUU larang tukar parti jadi tumpuan hari ini

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada ucapan penggulungan dan pengundian bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dijangka menggulung perbahasan RUU itu pada jam 2.30 petang.

RUU itu memerlukan sokongan majoriti dua per tiga Ahli Parlimen untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dalam laman sesawang rasmi Parlimen, perbahasan bagi RUU itu akan disambung bagi hari kedua selepas sesi soal jawab lisan.

Seramai 41 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada perbahasan RUU itu, semalam.

Sementara itu, soalan berhubung pembangunan masyarakat Orang Asli bakal diajukan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri yang mahu Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan perkembangan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli.

Pada sesi soal jawab lisan pula, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik mengikut negeri bagi kes pinjaman wang tidak berlesen seperti along, 'scammer' dan judi dalam talian di Malaysia.

Turut tersenarai, soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai langkah kementerian dalam memastikan bekalan ayam dan telur ayam tidak terputus serta mampu dibeli rakyat pada harga berpatutan.

Selain itu, isu vaksin COVID-19 akan diajukan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah kanak-kanak belum menerima suntikan vaksin, dan inisiatif kerajaan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos depan. – BERNAMA

Berita Harian X