Rabu, 27 Julai 2022 | 5:50pm

TNB jamin bekalan elektrik kekal berdaya harap

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil apabila gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera, seperti yang dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari tadi.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata pihaknya dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

"Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din.

"Kami bersyukur apabila pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB selain rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan," kata dalam kenyataan mengulas kejadian gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung tengah hari tadi.

Gangguan yang dilaporkan bermula jam 12.39 tengah hari dan dipulihkan sepenuhnya jam 3.02 petang.

Beliau juga menjelaskan bahawa kejadian yang berpunca kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor itu adalah kes terpencil dan kepantasan pemulihan bekalan menggambarkan tahap daya harap rangkaian sistem bekalan TNB.

Justeru, Baharin memberi komitmen bahawa TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistemnya.

"Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli," katanya.

Baharin seterusnya memohon maaf kepada pengguna terbabit dengan gangguan bekalan itu dan TNB akan menjalankan siasatan terperinci bersama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengambil langkah-langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

Jelasnya, kerosakan di PMU Yong Peng North di Yong Peng itu tidak membabitkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun beroperasi sepenuhnya.

Berita Harian X