Selasa, 26 Julai 2022 | 11:51am

Masalah bekalan ubat dijangka pulih suku keempat tahun ini

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan ubat-ubatan dijangka pulih menjelang suku keempat tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merancang pelbagai inisiatif bagi memastikan isu terbabit ditangani, antaranya menggalakkan syarikat farmaseutikal tempatan mengeluarkan ubat-ubatan sendiri, termasuk bahan aktif farmaseutikal (API) melalui kerjasama awam-swasta.

"Kini, terdapat peningkatan permintaan mendadak ubat-ubatan untuk rawatan penyakit seperti demam, selsema dan batuk. Sebagai contoh, penjualan bagi ubat Paracetamol didapati meningkat sehingga 238 peratus bagi suku pertama tahun 2022 berbanding data jualan suku pertama bagi tahun sebelumnya.

"Permintaan yang tinggi ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan bagi beberapa jenis ubat-ubatan walaupun pengeluarannya ditingkatkan oleh pengilang tempatan.

"Selain itu, jumlah ubat-ubatan yang diimport dari luar negara juga sudah ditingkatkan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), yang meminta kerajaan menyatakan perancangan bagi mewujudkan Dasar Sekuriti Ubat-Ubatan Negara dan sejauh mana langkah mewujudkan stok penimbal dapat mengawal ketidakstabilan bekalan.

Menjawab soalan Isnaraissah Munirah sama ada kerajaan akan melakukan kawalan serta pemantauan terhadap harga ubat, Khairy berkata, masalah yang berlaku ketika ini tertumpu kepada kekurangan bekalan ubat-ubatan.

"Walaupun stok (ubat-ubatan) rendah, kerajaan sentiasa pantau harga di pasaran. Jika naik mendadak, kita akan buat sesuatu bagi memastikan ada kawalan harga dan ia pernah dilakukan sebelum ini.

"Sekarang ini, antara ubat yang sangat berkurangan adalah Paracetamol, jadi kerajaan setuju stok penimbal daripada kerajaan sendiri dilepaskan untuk dijual kepada pasaran," katanya.

Beliau berkata, sejak 22 Julai lalu, KKM sudah menerima pesanan daripada 220 hospital dan klinik swasta bagi mendapatkan bekalan berkenaan.

"Kita akan menghantar dua pek, yang mana setiap pek mengandungi 1,000 biji untuk setiap klinik dan lima pek untuk setiap hospital. Harga yang kita lepaskan adalah harga pasaran asal yang dibeli kerajaan.

"Ada tiga lagi jenis ubat yang boleh kita lepaskan dan kita sedang menerima pesanan daripada hospital serta klinik iaitu membabitkan ubat selsema dan asma," katanya.

Khairy pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Berita Harian X