Isnin, 25 Julai 2022 | 4:01pm
Gambar hiasan spesis penyu agar yang ditemui di tiga lokasi di Terengganu dipercayai akibat perbuatan khianat - Foto NSTP
Gambar hiasan spesis penyu agar yang ditemui di tiga lokasi di Terengganu dipercayai akibat perbuatan khianat - Foto NSTP

Khianat punca empat penyu agar mati

KUALA TERENGGANU: Perbuatan khianat menjadi punca empat ekor penyu agar dewasa ditemukan mati di empat lokasi berasingan di negeri ini bukan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, setakat ini kerajaan belum mengenal pasti pelaku yang menyebabkan penyu itu mati dan siasatan masih dijalankan.

Katanya, pelaku yang menyebabkan kematian penyu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pemuliharaan Penyu 2021 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000.

"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati penyu yang ditemukan mati itu disebabkan perbuatan khianat.

"Siasatan bagi mengenal pasti pelaku, terutama nelayan atau pelancong sehingga menyebabkan kematian penyu masih dijalankan Jabatan Perikanan negeri," katanya kepada media pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan negeri (DUN), di sini, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, tiga bangkai penyu agar dewasa ditemukan di tiga lokasi sekitar daerah Kuala Nerus iaitu Seberang Takir, Pengkalan Maras dan Pulau Redang.

Sabtu lalu, satu lagi bangkai penyu agar ditemukan terdampar di Pantai Teluk Bidara, Dungun, dipercayai mati akibat unsur khianat.

Dalam perkembangan lain, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi mengesahkan punca kematian 11 lembu yang bangkainya ditemukan dibuang di kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar, di sini, pada 12 Julai lalu adalah sesak nafas.

Katanya, haiwan itu dibawa masuk ke negeri ini tanpa melalui proses pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

"Hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca lembu itu mati disebabkan mengalami sesak nafas selepas dimuat dalam lori dalam keadaan sesak," katanya.

Berita Harian X