X
Isnin, 25 Julai 2022 | 1:07pm

Penganggur hina Islam dipenjara setahun

KOTA BHARU: Kegagalan membayar denda RM10,000 menyebabkan penganggur yang menghina Islam di Facebook pada 17 Julai lalu terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 selepas tertuduh, Syaidinar Abu Bakar, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Tertuduh yang gagal membayar denda dikenakan hukuman tambahan enam bulan penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan Facebook secara sedar dengan memuat naik rakaman video berdurasi empat minit 13 saat yang jelik sifatnya dengan niat menghina Islam.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 532A Kampung Bagan Chekok, Pulau Chondong, di Machang jam 6 petang pada 17 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman terhadapnya diringankan, namun Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan.

"Mohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira tertuduh menghina agama dan boleh mencetuskan ketidakamanan dalam masyarakat.

"Pada masa sama, ia boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak memandang ringan isu seperti ini," katanya.

Syaidinar Abu Bakar dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Syaidinar Abu Bakar dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X