Ahad, 24 Julai 2022 | 6:22pm
Ibu Allahyarham Mohd Rodhi Othman, Mariam Mat. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Ibu Allahyarham Mohd Rodhi Othman, Mariam Mat. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Allahyarham sanggup hantar ubat lebih awal kepada ibu walaupun tidak sihat

BUTTERWORTH: Tidak berapa sihat, namun tetap sanggup menempuh perjalanan menghantar ubat darah tinggi lebih awal kepada ibu sebab bimbang insan tersayang itu kehabisan bekalan berkenaan.

Itulah antara bakti Allahyarham Mohd Rodhi Othman, 64, kepada ibunya, Mariam Mat, 82, beberapa hari sebelum maut dalam tragedi kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuh Raya Timur Barat, Jeli-Gerik, dekat Perak, semalam.

Mariam berkata, anak sulung daripada lapan beradik itu sepatutnya menghantar bekalan ubat darah tinggi ke rumahnya dekat Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Mohd Rodhi yang juga bekas pensyarah di sebuah kolej, pergi ke rumahnya beberapa hari lalu untuk menghantar ubat terbabit.

"Saya bertanya kepadanya, kenapa hantar awal sangat sebab Ahad ini (hari ini) pun boleh datang, tambahan pula ketika itu dia (Mohd Rodhi) tidak berapa sihat.

"Dia maklumkan takut ubat saya habis, jadi dia datang hantar awal sikit. Namun, tidak sangka dia kemudian pergi buat selama-lamanya. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas jenazah lima sekeluarga berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, di sini, hari ini.

Turut terkorban bersama Mohd Rodhi dalam nahas itu ialah isterinya, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; serta anak, menantu dan cucu, iaitu Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Ahmad Khomaini Abu, 32; dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Menceritakan lanjut, Mariam berkata, beliau terkejut dengan panggilan memaklumkan mengenai insiden itu, tambahan pula Mohd Rodhi tidak memberitahu bahawa mereka sekeluarga akan ke Kelantan.

"Sebelum ini kalau hendak pergi ke mana-mana, dia (Mohd Rodhi) mesti akan telefon untuk beritahu saya. Namun, dia tidak memaklumkan pula hendak pergi ke Kelantan.

"Tiba-tiba, cucu (anak sulung Mohd Rodhi) telefon memberitahu bahawa ayahnya terbabit kemalangan ketika hendak pulang dari Kelantan ke rumah mereka di Sungai Petani, Kedah.

"Dalam kemalangan itu, anak saya, menantu (isteri Mohd Rodhi), cucu (Siti Aishah) dan suaminya, serta cicit saya disahkan meninggal dunia. Berita ini amat mengejutkan," katanya dengan nada sayu.

Dalam kejadian jam 3.45 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga itu terbabit dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Nahas berlaku apabila pemandu Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan, dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kenderaan mangsa.

Lima sekeluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani selepas menghantar ahli keluarga mereka ke sebuah pusat pengajian pondok agama di Kota Bharu, Kelantan.

Berita Harian X