Ahad, 24 Julai 2022 | 4:28pm

Jenazah 5 sekeluarga dikebumikan

BUTTERWORTH: Jenazah lima sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Gerik dekat Perak petang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, di sini jam 2.50 petang tadi.

Terdahulu, jenazah bekas pensyarah sebuah kolej, Mohd Rodhi Othman, 64 dan isterinya, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, serta anak, menantu dan cucunya, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, Ahmad Khomaini Abu, 32, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6, disembahyangkan lebih 200 jemaah.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran ratusan ahli keluarga dan saudara-mara mangsa.

Dalam kejadian jam 3.45 petang semalam, lima sekeluarga itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Jenazah lima sekeluarga disembahyangkan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth hari ini - Foto NSTP/Danial Saad
Jenazah lima sekeluarga disembahyangkan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth hari ini - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X