Ahad, 24 Julai 2022 | 1:45pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Haramkan segera vape, e-rokok - CAP

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengharamkan segera vape dan e-rokok selepas kajian mendapati semakin ramai golongan kanak-kanak dikatakan ketagih menghisap alat terbabit.

Malah, kajian dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu turut mendedahkan ketagihan alat berkenaan turut membabitkan golongan gadis dari peringkat sekolah rendah dan menengah.

Aktivis Pendidikan dan Anti Merokok CAP, NK Subbarow, berkata perkembangan itu antara lain mendorong peningkatan tabiat merokok dalam kalangan belia di negara ini.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, golongan kanak-kanak dan belia terbabit cenderung membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli vape dan e-rokok berbanding makanan atau buku.

Katanya, CAP juga meminta larangan sepenuhnya terhadap penjualan, import dan pembuatan vape serta e-rokok turut diperkenalkan.

"Tinjauan CAP juga mendedahkan vape dan e-rokok ini menjadi seperti 'loly-pop' kepada kanak-kanak terbabit kerana (ia ditawarkan dalam) cecair berperisa buah-buahan.

"Jadi, larangan perlu ada bagi penjualan dan pengedaran vape serta e-rokok kepada kanak-kanak di bawah umur serta penggunaan agen perisa, selain penggunaannya di mana-mana saja seperti larangan ke atas rokok tembakau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X