Ahad, 24 Julai 2022 | 1:38pm

'Niat ibu ziarah ahli keluarga yang meninggal tak kesampaian'

GERIK: Lima sekeluarga yang maut dekat Hentian Titiwangsa, di Kilometer 62, Jalan Raya Timur-Barat, di sini, semalam, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Pulau Pinang selepas menghantar ahli keluarga terdekat masuk ke sekolah pengajian pondok.

Anak sulung kepada dua mangsa nahas itu, Muhammad Firdaus Mohd Rodhi, 35, berkata pemergian lima sekeluarga itu ke Kelantan bagi menghantar adiknya yang berusia 29 tahun memasuki sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ahli keluarganya itu mahu pulang segera ke Pulau Pinang semalam, selepas arwah ibunya dimaklumkan berhubung kematian ahli keluarga yang lain.

"Semua mangsa yang maut iaitu ibu, bapa, adik perempuan, adik ipar dan anak saudara saya sepatutnya pulang hari ini ke Pulau Pinang, namun dipercepatkan sehari awal selepas arwah ibu dimaklumkan bapa mentua kepada adik ibu meninggal dunia serta akan dikebumikan di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.

"Saya sempat membuat panggilan video dengan ibu pada jam 2 petang semalam memaklumkan ada kematian di Pulau Pinang, justeru mereka yang sepatutnya pulang hari ini terpaksa balik cepat semalam selepas menghantar adik.

"Malangnya, niat ibu menziarahi ahli keluarga yang meninggal itu tidak kesampaian, malah kami kehilangan lima ahli keluarga sekali gus yang maut dalam kemalangan itu," katanya kepada media di Unit Forensik Hospital Gerik, di sini, hari ini.

Dalam nahas itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

Jenazah lima sekeluarga itu akan dikebumikan dalam dua liang berasingan di kampung halaman Mohd Rodhi di Kampung Permatang, Sungai Dua, Butterworh, Pulau Pinang.

Muhammad Firdaus berkata, ibunya menunjukkan sedikit kelainan apabila berpelukan dengannya pada pagi kelmarin sebelum bertolak ke Kelantan, selain memaklumkan berasa tidak bermaya kerana sakit dada.

"Ibu juga berpesan supaya menjaga ikan peliharaannya sepanjang pemergiannya ke Kelantan dan pada pagi kelmarin, pelik sedikit sebab sempat berpelukan dan berkucupan dengannya," katanya.

Sementara itu, adiknya, Muhammad Naim, 26, berkata kali terakhir beliau bertemu ibu bapanya kira-kira sebulan lalu ketika menghadiri istiadat konvokesyen sebuah universiti awam di Shah Alam, tetapi tiada perubahan sikap ditonjolkan mereka berdua.

 Empat van membawa jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan dua kenderaan berhampiran Hentian Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Gerik, berlepas dari Unit Forensik Hospital Gerik, ke Pulau Pinang, pagi ini. NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Empat van membawa jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan dua kenderaan berhampiran Hentian Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Gerik, berlepas dari Unit Forensik Hospital Gerik, ke Pulau Pinang, pagi ini. NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Berita Harian X