Ahad, 24 Julai 2022 | 8:02am
Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut antara kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, di sini, semalam. - Foto JBPM Perak
Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut antara kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, di sini, semalam. - Foto JBPM Perak

Nahas maut lima beranak, kenderaan dinaiki dirempuh Toyota Hilux

GERIK: Polis sudah mengesahkan identiti lima mangsa maut dalam kemalangan di KM62, berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata mereka adalah pasangan suami isteri, Ahmad Khomaini Baba, 32; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; anak mereka, Zara Hana, enam; ibu dan bapa Siti Aishah iaitu Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati nahas berpunca apabila pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Gerik menuju Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki lima mangsa maut terbabit di arah bertentangan.

"Kemalangan mengakibatkan pemandu serta empat penumpang Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian yang mana semua mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah.

"Pemandu serta tiga penumpang Toyota Hilux pula berasal dari Tumpat, Kelantan dan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk menerima rawatan," katanya menerusi kenyataan media awal pagi hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat lima mangsa maut itu dihantar ke Hospital Gerik, di sini untuk proses bedah siasat.

Mior Faridalathrash juga berkata, semua mangsa akan dikebumikan di Kampung Permatang Sungai Dua Butterworth.

Malam tadi, media melaporkan lima termasuk seorang kanak-kanak maut dalam nahas membabitkan Perodua Alza dinaiki mereka sebuah dengan sebuah Toyota Hilux berhampiran Banjaran Titiwangsa, di sini, sekitar jam 3.45 petang semalam.

Berita Harian X