Sabtu, 23 Julai 2022 | 8:02pm

5 maut dalam nahas di Lebuhraya Timur Barat

GERIK: Lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah pikap berhampiran Hentian Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, di sini, petang tadi.

Mangsa yang maut adalah Mohd Rodhi Othman, 58; Ahmad Khomaini Abu, 30; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5.

.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata dua lagi mangsa cedera dalam nahas yang berlaku pada jam 3.45 petang itu.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan.

Mangsa yang cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba
Mangsa yang cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba

"Nahas membabitkan sebuah kereta PERODUA Alza dengan Toyota Hilux. Semua mangsa yang maut menaiki PERODUA Alza, manakala mangsa yang cedera menaiki Toyota Hilux.

"Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian melakukan kerja menyelamat mangsa menggunakan peralatan khas dengan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang maut pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Keadaan Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba
Keadaan Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian dan berkata lima mangsa maut terbabit menaiki PERODUA Alza dan semuanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood pula berkata, semua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan waris sudah dimaklumkan untuk proses selanjutnya.

Keadaan kereta PERODUA Alza yang dinaiki lima mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba
Keadaan kereta PERODUA Alza yang dinaiki lima mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, petang tadi. - Foto ihsan bomba
Berita Harian X