Jumaat, 22 Julai 2022 | 2:57pm
KUALA LUMPUR, 18 Julai. Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Bangunan Parlimen hari ini. Ihsan Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR, 18 Julai. Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Bangunan Parlimen hari ini. Ihsan Jabatan Penerangan

RUU Sumbangan Politik perlukan kajian sebelum dibentangkan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik memerlukan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum ia boleh dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kajian terperinci itu perlu dilaksanakan selaras dengan dasar ditetapkan bawah Laporan Semakan Semula Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Sesi libat urus juga perlu dilaksanakan dengan pelbagai pihak sebelum undang-undang baharu ini dapat diperkenalkan bagi memastikan mekanisme pelaksanaan yang berkesan kelak.

"Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa ini tidak bercadang untuk membuat sebarang pembaharuan untuk dibentangkan di Parlimen," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) meminta kerajaan menyatakan bilakah RUU Pendanaan Parti Politik dan Reformasi SPR akan dibentangkan di Parlimen.

Wan Junaidi berkata, cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU Sumbangan Politik sebelum ini dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 15 Bilangan 1 Tahun 2022 pada 19 Mei lalu.

"Skop dasar bagi RUU itu dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan selaras dengan dasar semasa kerajaan," katanya.

Berita Harian X