Khamis, 21 Julai 2022 | 7:28pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Penyu Agar betina ditemukan mati dipercayai dibunuh

KUALA TERENGGANU: Seekor penyu Agar betina ditemukan mati dengan kesan kelar di leher di perairan Pulau Kapas dekat Marang, dipercayai dibunuh pihak tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas, Mohd Farith Rezza Isa, berkata bangkai seberat kira-kira 80 kilogram dengan anggaran umur 45 hingga 50 tahun itu ditemukan terapung oleh pengusaha bot pulau peranginan berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi.

"Hanya ada satu kesan kelaran di bahagian leher dan organ dalaman penyu itu masih berada dalam keadaan yang baik.

"Laporan telah dibuat kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan bangkai itu juga telah ditanam. Kami menggesa siasatan sewajarnya dilakukan segera agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelaku tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan, ini adalah kes pertama membabitkan kematian penyu akibat unsur khianat pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Uzair Rusli berkata penyu itu dipercayai mati kurang 48 jam kerana bangkainya masih belum kembang dan tidak pecah.

"Kebiasaannya, tindakan mengelar leher penyu ini adalah bertujuan memastikan penyu mati dengan cepat untuk menyelamatkan pukat.

"Sekiranya memang benar ia mati akibat perbuatan khianat, kita percaya perbuatan kejam ini berlaku dalam perairan negara kerana nelayan asing tidak akan meninggalkan bangkai seperti itu kerana ia mempunyai harga di pasaran," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X