Khamis, 21 Julai 2022 | 2:50pm

Sasar 50,000 syarikat miliki sijil halal JAKIM

KUANTAN: Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) menyasarkan 50,000 syarikat di negara ini memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC, Hairol Ariffien Sahari, berkata setakat ini, sebanyak 10,000 syarikat memiliki sijil berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, HDC sedia membantu syarikat untuk mendapatkan sijil halal dengan memberikan latihan dan khidmat nasihat sebelum permohonan dikemukakan kepada JAKIM.

"Sebelum memohon sijil halal, sebaiknya datang ke HDC untuk mendapatkan latihan dan khidmat nasihat yang bersesuaian daripada HDC sebelum memohon dengan JAKIM atau Jabatan Agama Islam negeri.

"Dengan kaedah ini, permohonan sijil halal itu akan lebih lancar pada masa akan datang.

"Dengan adanya sijil halal ini juga akan membantu meningkatkan pasaran baharu yang lebih meluas dan nilai tambah kepada operasi syarikat," katanya.

Hairol Ariffien berkata demikian pada sidang media pada majlis perasmian penutup Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2022 Pahang di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Matlamat utama program JHM 2022 bertujuan untuk menggalakkan penyertaan usahawan dalam perniagaan halal.

Ia juga membantu usahawan tempatan mendapatkan maklumat berkaitan industri halal, bantuan dari segi produk perbankan Islam dan takaful, pematuhan berkaitan pensijilan halal serta informasi mengenai pembangunan dan latihan halal.

Sementara itu, melalui teks ucapan Menteri Besar yang dibacakan Norolazali, Pahang bersedia untuk menjadi hab makanan halal antarabangsa.

Katanya, ia membabitkan dari segi penjenamaan, pemprosesan dan pemasaran makanan halal dengan terbinanya Taman Halal Pahang di kawasan perindustrian Gambang, di sini.

"Ini kerana industri makanan halal mempunyai peluang yang sangat besar dengan Malaysia sahaja sebagai pasaran domestik tersedia untuk makanan halal yang penduduk majoritinya beragama Islam.

"Justeru, usahawan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di Taman Halal Pahang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Pada masa sama, saya turut berharap HDC akan membantu untuk meningkatkan lagi promosi Taman Halal Pahang yang bukan sahaja untuk usahawan tempatan tetapi menarik lebih ramai pelabur datang ke Pahang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Norolazali Sulaiman (depan tengah) bersama usahawan yang menyertai Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2022 Pahang di Kuantan. - Foto NSTP/Asrol Awang
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Norolazali Sulaiman (depan tengah) bersama usahawan yang menyertai Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2022 Pahang di Kuantan. - Foto NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X