Khamis, 21 Julai 2022 | 11:47am

Kenapa OPR perlu naik, ini penjelasan BNM

KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Semalaman (OPR) iaitu penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Kenaikan itu perlu dibuat bagi mengelakkan turun naik harga yang keterlaluan dalam ekonomi, kata Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata pelarasan yang dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dengan menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus bertujuan membantu mengelakkan permintaan dalam negeri yang berlebihan, yang boleh menambah tekanan inflasi.

Katanya, langkah menaikkan kadar itu juga adalah bagi mengelakkan kenaikan kadar faedah pinjaman bank lebih agresif pada masa hadapan.

"Bagi menangani krisis ekonomi ketika pandemik COVID-19, kita mengurangkan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif daripada 3.00 peratus kepada 1.75 peratus (sejak 7 Julai 2020), iaitu paras OPR yang terendah dalam sejarah.

"Oleh itu, meskipun ada pelarasan, dasar monetari akan tetap kekal akomodatif pada tahun ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa yang sama memastikan kestabilan harga," katanya kepada BH.

Nor Shamsiah menggunakan analogi pelarasan OPR seperti mengubati pesakit yang mengalami kesakitan yang melampau, lalu memerlukan ubat yang kuat serta pelbagai jenis bantuan kecemasan yang lain.

Jelasnya keadaan ekonomi juga sama seperti itu, yang memerlukan sokongan yang ketara semasa krisis.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

"BNM telah mengambil pelbagai langkah drastik, termasuk mengurangkan OPR ke paras yang terendah dalam sejarah. Kini, ekonomi semakin pulih.

"Jadi apabila pesakit semakin sembuh, dos ubat perlu dikurangkan secara beransur-ansur. Dengan cara yang sama, BNM memutuskan untuk melaraskan (menaikkan) OPR.

"Keutamaan BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bantahan beberapa pihak keputusan BNM menaikkan OPR kerana dibimbangi akan memberi tekanan kepada rakyat untuk membayar balik pinjaman, khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih dalam proses pemulihan.

Kenaikan inflasi menyebabkan beberapa ekonomi utama dunia turut menaikkan kadar faedah pinjaman masing-masing tahun ini.

Bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar faedah sehingga 100 mata asas (1.00 peratus) untuk membendung kenaikan inflasi yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun.

Di peringkat serantau, bank pusat Singapura dan Filipina turut mengambil langkah menaikkan kadar faedah masing-masing bulan ini untuk menangani kebimbangan inflasi yang semakin meningkat.

Bank Pusat Eropah (ECB) pula dijangka menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas minggu ini.

Nor Shamsiah menjelaskan kesan kenaikan kadar faedah berikutan pelarasan OPR kepada peminjam adalah terhad, terutama kepada kumpulan yang berpendapatan rendah kerana OPR hanya memberi kesan kepada bayaran balik pinjaman kadar terapung, seperti pinjaman perumahan.

"Walaupun OPR ketika ini adalah lebih tinggi iaitu 2.25 peratus, kadarnya masih lebih rendah berbanding dengan paras sebelum pandemik iaitu 3.00 peratus," katanya.

Gabenor BNM itu menjelaskan ketika ini 32.2 peratus pinjaman oleh peminjam yang berpendapatan rendah (kurang RM3,000 sebulan) mempunyai pinjaman kadar tetap (seperti pinjaman kereta), berbanding 21.9 peratus bagi peminjam berpendapatan bulanan RM5,000 hingga RM10,000 dan 14.7 peratus bagi peminjam berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan.

"Bagi peminjam pinjaman kadar terapung (seperti pinjaman perumahan), kenaikan bayaran balik bulanan tidak akan meningkat secara ketara.

"Contohnya, bagi pinjaman perumahan bernilai RM300,000 untuk tempoh 35 tahun, kenaikan OPR sebanyak 50 mata asas akan meningkatkan bayaran balik bulanan sebanyak RM85, manakala bagi pinjaman perumahan bernilai RM500,000 untuk tempoh sama, peningkatan adalah sebanyak RM142," katanya.

Nor Shamsiah menjelaskan, meskipun kenaikan OPR boleh memberi kesan kepada peminjam melalui bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi untuk pinjaman kadar terapung, kadar yang lebih tinggi juga akan memberikan manfaat kepada penyimpan melalui pulangan deposit yang lebih baik.

Beliau berkata, pulangan deposit yang lebih tinggi akan menggalakkan individu menambah simpanan bagi membina semula penampan kewangan mereka yang terjejas akibat krisis COVID-19.

"Bagaimanapun, BNM memahami kesukaran yang dihadapi oleh golongan peminjam mudah terjejas. Beberapa kumpulan peminjam akan memerlukan bantuan seperti kumpulan berpendapatan rendah atau sektor yang lebih terjejas akibat pandemik ini.

"Bantuan masih disediakan untuk golongan ini, termasuk pelbagai kemudahan di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khidmat nasihat dan bantuan di bawah pelbagai program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang sedia ada untuk isi rumah dan PKS iaitu Program Pengurusan Kredit (PPK) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK)," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata perkara yang paling penting ialah pelarasan OPR dilaksanakan secara beransur-ansur supaya tidak mengganggu pemulihan ekonomi negara.

"Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari yang diterbitkan pada Mac lalu, kami ada menyatakan bahawa keadaan ekonomi yang lemah akibat daripada penutupan sektor ekonomi susulan pandemik COVID-19 memerlukan sokongan dasar monetari yang ketara.

"Namun, keadaan ini sudah berlalu. Apabila ekonomi dibuka semula, BNM berpandangan bahawa ekonomi Malaysia kini berada pada trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh dan tidak lagi berada dalam krisis.

"Ini berikutan permintaan dalam negeri yang semakin teguh, keadaan pasaran pekerja yang lebih baik serta aktiviti dan prospek pelaburan yang bertambah baik," katanya.

Sementara itu, Nor Shamsiah turut menjelaskan keputusan melaraskan OPR bukan dilakukan untuk menyokong pergerakan ringgit.

Katanya, meskipun MPC mengambil kira pergerakan dalam kadar pertukaran ringgit, faktor itu dinilai setakat mana ia memberikan kesan kepada imbangan risiko terhadap inflasi dan prospek pertumbuhan negara.

"Penyusutan nilai ringgit akan menyumbang kepada kenaikan harga import. Namun begitu, fleksibiliti kadar pertukaran ringgit kekal menjadi barisan pertahanan pertama Malaysia untuk menyerap kejutan luaran.

Berita Harian X