Rabu, 20 Julai 2022 | 1:15pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KKM mula agih ubat kepada klinik, hospital swasta

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mula mengagihkan simpanan ubat tertentu dari klinik kerajaan kepada klinik swasta yang melaporkan kekurangan ubatan tertentu bermula hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan pihaknya mengagihkan ubat jenis paracetamol kepada klinik swasta berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan ubat di fasiliti berkenaan.

"Pengeluaran ubat tertentu daripada simpanan Kerajaan Persekutuan ke klinik swasta untuk mengatasi kekurangan ubat akan bermula hari ini, dan ia dimulakan dengan ubat paracetamol.

"Jika anda diminta membeli PCM (paracetamol) di klinik swasta (tetapi) berlogo KKM, ia adalah wajar kerana ia daripada stok simpanan kerajaan," katanya dalam ciapan Twitter hari ini.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat di fasiliti kesihatan berkenaan.

Katanya, setakat ini masih ada fasiliti antaranya klinik swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selsema.

Sehubungan itu, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan yang berdepan masalah bekalan.

BH sebelum ini melaporkan, kekurangan beberapa jenis ubat di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, pada 13 Jun lalu KKM merumuskan tiga langkah penyelesaian sementara untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan iaitu dengan membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat.

Selain itu, Khairy turut memaklumkan pesakit di hospital swasta boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat bagi meneruskan rawatan sekiranya perlu, namun pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.

Langkah akhir adalah pesakit boleh membeli ubat-ubatan berkenaan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan.

Berita Harian X