Rabu, 20 Julai 2022 | 1:10pm
Papan tanda Kelab Komedi Crackhouse dan pintu masuk sebuah bank terletak bersebelahan kelab itu menjadi mangsa perbuatan khianat, awal pagi semalam. Foto ihsan polis
Papan tanda Kelab Komedi Crackhouse dan pintu masuk sebuah bank terletak bersebelahan kelab itu menjadi mangsa perbuatan khianat, awal pagi semalam. Foto ihsan polis

Kelab Komedi Crackhouse jadi mangsa perbuatan khianat

KUALA LUMPUR: Premis restoran merangkap Kelab Komedi Crackhouse yang mencetuskan kontroversi berkait kes hina agama Islam baru-baru ini, menjadi mangsa perbuatan khianat apabila disimbah cat hitam dan merah, semalam.

Kejadian itu disedari beberapa kakitangan bank bersebelahan restoran terbabit ketika mereka mahu memulakan kerja jam 8.15 pagi.

Mereka mendapati pintu masuk bank terbabit yang terletak di Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail di sini, turut terkena simbahan cat berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata seorang kakitangan bank terbabit yang berusia 50 tahun kemudian tampil membuat satu laporan polis pada jam 10.07 pagi semalam.

Katanya, perbuatan khianat itu menyebabkan pihak bank mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

"Pada sebelah petang tadi (semalam), kira-kira jam 4.56 petang, seorang warga tempatan berusia 39 tahun yang juga pemilik Kelab Komedi Crackhouse pula tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.

"Premisnya didapati disimbah cat berwarna merah dan lantai pintu utama menuju ke tangga pula disimbah cat berwarna hitam. Setakat ini jumlah kerugian belum dapat dipastikan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Amihizam, semakan rakaman kamera litar tertutup di bank terbabit mendapati kejadian dipercayai berlaku antara jam 4.15 pagi hingga 5.09 pagi tadi.

"Semakan lanjut menerusi rakaman CCTV di bank serta premis berhampiran lokasi,mendapati dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis PROTON Waja membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda Kelab Komedi Crackhouse.

"Namun, sebahagian dari cat hitam yang dibaling ke restoran terkena pada pintu utama bank yang terletak bersebelahan," katanya.

Amihizam berkata, rakaman CCTV yang diperolehi itu akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan analisa pakar.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini masih diteruskan.

"Kita mohon saksi bebas yang melihat kejadian ini untuk tampil memberikan maklumat menerusi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Berita Harian X