Rabu, 20 Julai 2022 | 9:41am
FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Isu rantaian bekalan makanan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai cabaran dihadapi sektor agromakanan dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil dan lancar, merupakan antara topik dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Charles Anthony Santiago (PH-Klang) pula bertanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sama ada kementerian itu mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita daripada keluarga B40.

Tumpuan juga dijangka diberikan kepada soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang bertanya kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai sejauh mana konsep Pelancongan Islamik diketengah dalam memajukan sektor pelancongan di Malaysia.

Isu mengenai masalah 'bank scam' yang kerap berlaku membabitkan wang dalam akaun pendeposit bank dipindah tanpa pengetahuan pula disentuh Chong Chieng Jen (PH-Stampin) melalui soalan yang diajukan kepada Menteri Kewangan.

Beliau bertanya mengenai dasar serta langkah akan diambil kerajaan dan Bank Negara Malaysia bagi mengatasi perkara itu, selain langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan wang mereka di bank.

Turut dijangka menjadi tumpuan ialah sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama bagi 10 Rang Undang-Undang (RUU), antaranya RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022.

Selesai sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan RUU Antigangguan Seksual 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos depan. – BERNAMA

Berita Harian X