Rabu, 20 Julai 2022 | 8:35am
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

i-Biaya beri peluang pekerja ekonomi gig miliki rumah

KUALA LUMPUR: Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) bawah Program Pemilikan Kediaman (HOPE) memberi peluang kepada golongan belia, terutama pekerja ekonomi gig, untuk memiliki kediaman.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad, berkata inisiatif itu menawarkan akses pembiayaan menerusi Cagamas Berhad, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan skim sewa untuk beli dengan PR1MA.

Beliau menjelaskan, pembiayaan melalui Cagamas dan SJKP bersifat fleksibel tanpa perlu mengemukakan penyata gaji yang kebiasaannya menjadi syarat utama dalam proses pemilikan kediaman.

"Dalam keadaan sekarang, ramai belia terbabit ekonomi gig atau bekerja sendiri, iaitu tiada pendapatan tetap dan penyata gaji, tidak seperti mereka yang bekerja sektor awam.

"Mereka tidak dapat memberikan penyata gaji bulanan seperti yang bank minta. Justeru untuk menangani isu ini, kerajaan melancarkan skim i-Biaya.

"Bawah skim ini, ada Cagamas dan SJKP yang bersifat fleksibel. Kalau tiada penyata gaji, boleh dipertimbangkan dengan melihat komitmen bulanan seperti bil elektrik, bil telefon atau pembelian secara dalam talian, iaitu (jika) rekod pembayaran mereka bagus, ia boleh diambil kira sebagai menyokong kelayakan bahawa dia mampu untuk bayar (rumah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'HOPE: Ke Arah Merealisasikan Aspirasi 1 Keluarga, 1 Rumah' terbitan Bernama TV, malam tadi.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pembiayaan ditawarkan adalah 110 peratus meliputi pembiayaan untuk membayar deposit rumah.

"Ini kerana kita tahu golongan muda... contohnya kalau hendak membeli rumah berharga RM250,000, deposit perlu disediakan dengan bayaran peguam dan sebagainya lebih kurang RM25,000, boleh dimasukkan dalam pembiayaan perumahan mereka," katanya.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melancarkan program HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah yang bukan saja membantu mempromosikan perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik. – BERNAMA

Berita Harian X