Selasa, 19 Julai 2022 | 4:39pm
 Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini. Foto ihsan PMO
Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini. Foto ihsan PMO

3 pendekatan selesai isu pekerja asing - PM

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, hari ini, memutuskan tiga pendekatan diambil kerajaan dalam mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan serta pihak berkenaan perlu mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing sehingga hujung bulan ini.

"Bagi pendekatan kedua, majikan digesa mempertimbang pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi saja.

"Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temu duga majikan dengan menambah bilangan penemuduga di pusat sehenti (OSC) mengikut zon dan negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi itu turut membincangkan usaha mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

Beliau berkata, kerajaan mendengar keluhan dan pandangan pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

Katanya, kerajaan akan meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan.

"Mesyuarat ini juga mengambil maklum prestasi program MyMudah yang dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

"Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Jadi, MPC diminta menyelesaikan isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.

"Sebanyak 30 peratus isu diterima melalui MyMudah sudah diselesaikan dalam tempoh kurang 60 hari seperti disasarkan," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan menggesa MPC berusaha menyelesaikan kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga.

Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat bersetuju supaya MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.

Katanya, tumpuan juga perlu diberi kepada penubuhan MyMudah pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan isu birokrasi dapat ditambah baik.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pula diminta melaksanakan program berkaitan sekuriti makanan negara yang dipersetujui kerajaan dengan segera.

"Kita sentiasa berusaha memastikan permasalahan dihadapi pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh," katanya.

Berita Harian X