Isnin, 18 Julai 2022 | 5:48pm

Menu Keluarga Malaysia ringankan beban mahasiswa UMT

KUALA NERUS: Seketul ayam, sayur, sambal dan nasi mengikut keperluan dengan harga di antara RM3.50 dan RM5 diperkenalkan kerajaan melegakan kira-kira 10,000 mahasiswa di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Mahasiswa juga mempunyai pilihan sama ada untuk memilih menu berharga RM3.50 atau RM5, tetapi semua makanan ditawarkan 24 pengusaha kantin mampu menjimatkan perbelanjaan mahasiswa.

Tinjauan di beberapa kantin di UMT mendapati menu MKM atau Menu Keluarga UMT mendapat sambutan dan menjadi pilihan utama mahasiswa.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Nur Amirah Mohd Argus, berkata mahasiswa mampu menjimatkan kos makanan dan minuman di antara RM6.50 dan RM5.

Katanya, mahasiswa bukan sahaja dapat menikmati makanan dan minuman di kantin berhampiran asrama, malah di semua 24 kantin dalam kawasan UMT.

"Sebelum MKM diperkenalkan kerajaan khas untuk mengurangkan perbelanjaan, mahasiswa terpaksa membelanjakan di antara RM15 dan RM25 sehari untuk kos makan serta minum.

"MKM atau MK UMT bukan sahaja dihadkan untuk mahasiswa yang dikategorikan golongan B-40, malah mampu dimanfaatkan semua golongan," katanya.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan MKM di restoran-restoran koperasi dan kafeteria di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dalam kalangan penuntut universiti.

Sebahagian mahasiswa UMT memilih makanan yang dijual pada harga di antara RM3.50 dan RM5 melalui program MKM, hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR
Sebahagian mahasiswa UMT memilih makanan yang dijual pada harga di antara RM3.50 dan RM5 melalui program MKM, hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR

Seorang mahasiswa tahun satu dalam bidang Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Amir Mirza Ruslam, berkata pengurusan UMT dan jawatankuasa MPP sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan menu makanan disediakan berkualiti.

"Pengurusan UMT juga sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan semua pengusaha kantin menjual makanan berkualiti pada harga ditetapkan iaitu antara RM3.50 dan RM5 untuk setiap hidangan," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha kantin di UMT, Amri Zahari, 43, mengesahkan masih mampu memperoleh keuntungan walaupun makanan termasuk nasi ayam dijual pada harga di antara RM3.50 dan RM5.

Katanya, pengurusan UMT juga bersetuju untuk mengecualikan bayaran sewa kantin selama enam bulan.

"Selain menawarkan harga ditetapkan, kita juga membantu meringankan bebanan mahasiswa apabila 30 orang, terutama mahasiswa golongan B 40 ditawarkan bekerja sebagai tukang masak dan pelayan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata walaupun harga ditawarkan lebih murah, tetapi makanan dan minuman disediakan lengkap dengan nutrisi iaitu menu asas seperti nasi, ayam dan sayur.

Katanya, pengurusan universiti juga mendapat kerjasama daripada MPP bagi mengawal dan memantau kadar harga makanan dan kualiti perkhidmatan di semua 24 kantin dalam kawasan UMT.

"Inisiatif MKM diperkenalkan kerajaan mampu membantu semua mahasiswa memberi tumpuan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan untuk membeli makanan dan minuman," katanya.

Berita Harian X