Isnin, 18 Julai 2022 | 11:07am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital meningkat

PUTRAJAYA: Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi kategori satu dan dua serta tiga hingga lima masing-masing menunjukkan peningkatan 33 peratus dalam tempoh 10 Julai hingga Ahad lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) 28/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh itu jumlah kes baharu turut meningkat 23.4 peratus iaitu 26,355 kes berbanding 21,355 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan paling tinggi membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu sebanyak 26.6 peratus atau 30 kes kepada 38 kes, manakala bagi penularan tempatan meningkat 23.4 peratus (21,325 kes kepada 26,317 kes).

"Bagi peratusan pengisian katil untuk fasiliti COVID-19, penggunaan katil bukan kritikal meningkat dua peratus, diikuti Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat tiga peratus serta di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), kekal dan tiada perubahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes positif yang dipantau melalui Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), ia menerima peningkatan kedatangan pesakit sebanyak 23.1 peratus.

"Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 41.3 peratus dan pesakit yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital pula meningkat 18.2 peratus.

"Trend kes aktif yang dipantau secara maya (CAC maya) pada akhir ME 28/2022 pula meningkat 33.8 peratus berbanding pada akhir minggu lalu iaitu daripada 53,306 kes kepada 71,326 kes," katanya.

Mengulas kes sembuh di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, ia turut meningkat 16.8 peratus iaitu daripada 16,379 kes kepada 19,138 kes.

"Bilangan kes kematian pada ME 28/2022 menunjukkan peningkatan 2.6 peratus (38 kes kepada 39 kes) dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu terdapat peningkatan 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Sementara itu, mengenai kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) membabitkan kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, hasil survelan di lokasi sentinel seluruh negara menunjukkan peningkatan 8.5 peratus kepada 11.5 peratus berbanding 10.6 peratus sebelumnya.

Berita Harian X