Isnin, 18 Julai 2022 | 10:43am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pakar gesa Ahli Parlimen sokong RUU kawalan tembakau, rokok

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat bermula hari ini, digesa menyokong rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau dan rokok yang akan dibentang dan dibahaskan minggu ini.

Kumpulan lima pakar pediatrik iaitu Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Dr Selva Kumar; Naib Presiden Persatuan Untuk Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Dr Thiyagar Nadarajaw; Datuk Dr Amar Singh; Datuk Dr Musa Mohd Nordin dan Datuk Dr Zulkifli Ismail dalam kenyataan bersama, berkata mereka merayu Ahli Parlimen yang bersidang untuk memikirkan kesihatan serta kesejahteraan semua kanak-kanak di negara ini.

Pakar berkenaan berkata, adalah penting untuk semua pihak terbabit memahami RUU itu bukan bertujuan mengekang tabiat merokok dalam kalangan dewasa, sebaliknya mahu menghentikan penjualan dan penggunaan rokok atau produk rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak yang lahir dari 2005 iaitu mereka yang akan berusia 18 tahun pada 2023.

"RUU kawalan tembakau dan merokok yang sangat kritikal ini akan dibentangkan di Parlimen minggu ini.

"Antara RUU yang sangat kritikal yang akan memberi kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan generasi demi generasi kanak-kanak kita. Jadi, adalah penting bagi semua Ahli Parlimen memahami sepenuhnya isu berkenaan dan menyokong RUU ini," katanya.

Katanya, tabiat merokok adalah epidemik yang semakin giat berlaku dalam kalangan kanak-kanak di negara ini dengan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 menunjukkan 11.6 peratus atau 303,800 daripada kanak-kanak berusia sembilan hingga 15 tahun di negara ini didapati sudah menjadi perokok.

Sebanyak 7.5 peratus atau 196,000 kanak-kanak dalam kumpulan usia itu pula sudah menggunakan rokok elektronik atau vape, manakala secara keseluruhan sebanyak 15.6 peratus daripada remaja berusia 15 hingga 19 tahun sudah menggunakan produk tembakau.

"Dijangka bilangan pengguna vape meningkat dalam beberapa tahun selepas kajian itu dijalankan.

"Sebagai pakar pediatrik, kami menyedari ramai kanak-kanak berusia muda diperkenalkan dengan produk tembakau vape melalui perisa atau peralatannya dan tarikan untuk kelihatan bergaya.

"Amat mudah untuk melihat remaja di seluruh negara menggunakan vape dan merokok. Ramai yang memulakan tabiat ini seawal usia sembilan atau 10 tahun dan menjadi ketagih," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, memang sudah diketahui kebanyakan perokok mempunyai tabiat itu sejak usia remaja dan penggunaan vape hanya membuatkan ia mudah dimulakan.

Selain itu, kaji selidik tembakau dan rokok elektronik dalam kalangan remaja Malaysia (TECMA) mendapati sejak 2016, sebanyak 9.1 peratus atau sekurang-kurangnya 600,000 remaja berusia 10 hingga 19 tahun adalah pengguna alat berkenaan.

Kaji selidik itu juga mendapati, separuh daripada mereka mula menggunakan vape sebelum berusia 14 tahun lagi.

"Ketagihan terhadap tembakau amat sukar dihentikan. Segelintir pula kemudian terjebak dengan penggunaan dadah yang lebih menyebabkan ketagihan san berbahaya.

"Undi positif terhadap RUU ini adalah undi positif terhadap pelaburan untuk kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kita ketika ini dan pada masa depan," katanya.

Pakar berkenaan berkata, ia juga adalah undi yang membawa harapan semua keluarga supaya anak mereka tidak terperangkap dengan ketagihan merokok dan penggunaan vape serta undi yang menawarkan sokongan kepada sistem kesihatan negara untuk mengurangkan beban penyakit utama.

Berita Harian X