PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri tidak mencampuri urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) walaupun jabatan itu terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tidak campur tangan dalam sebarang urusan ROS, termasuk permohonan UMNO untuk meminda perlembagaannya, yang antara lain mahu mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
"Biarpun ROS berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, saya tidak mencampuri urusan itu kecuali mereka ada membuat permohonan rayuan yang diserahkan kepada saya.
"Saya tidak mempunyai autoriti berkenaan perkara itu dan menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan saya berkuasa dalam perkara itu," katanya selepas menghadiri Majlis Silaturahim Pendekar, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai ROS yang masih belum mengeluarkan keputusan berhubung permohonan UMNO meminda perlembagaan untuk mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO menyatakan seharusnya tiada kekangan di pihak ROS untuk membuat keputusan segera berhubung pindaan itu, yang sudah dipersetujui perwakilan parti pada perhimpunan agungnya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, dilaporkan berkata, parti itu juga sudah mengemukakan dokumen tambahan diperlukan ROS, baru-baru ini, bagi memperakui keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas pada Mei lalu.
"Dari segi teknikal dan logiknya, dokumen itu lengkap dan tidak ada isu, seterusnya UMNO boleh 100 peratus memberi tumpuan untuk menang PRU.
"Namun, selagi ROS tidak keluar (keputusan), akan ada tanda soal dan kena terangkan kepada ahli UMNO. Kita mahukan kepastian dan ketetapan supaya dapat fokus pada pilihan raya," katanya.
UMNO menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun 2021.
Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan perlu diadakan sebelum 30 Disember depan.
Berdasarkan dokumen pindaan dibentangkan pada PAU Khas, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu, iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan.
Pada 7 Julai lalu, ROS memaklumkan, keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO itu akan diketahui selewat-lewatnya 16 Julai.
Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata, agensi itu mempunyai masa hingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan berkenaan.
Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti itu akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini jika ROS tidak meluluskan permohonan itu atau menggunakan Pelan B jika memutuskan tidak meneruskan pemilihan dalam tempoh berkenaan.