X
Ahad, 17 Julai 2022 | 2:49pm
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. - NSTP/ARKIB
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. - NSTP/ARKIB

Ahli UMNO mahu kepastian - Shahril

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan seharusnya tiada kekangan di pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk segera membuat keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan dikemukakan parti berkenaan.

"Beri jawapan untuk melepaskan (permohonan) itu secepat mungkin supaya UMNO tidak ada tanda soal atau tanda tanya sebab ahli UMNO mahukan kepastian," katanya.

Katanya, UMNO juga berharap tiada sebarang sebarang halangan di pihak RoS untuk meluluskan permohonan pindaan perlembagaan yang sudah dipersetujui perwakilan parti pada perhimpunan agungnya.

Portal UMNO Online semalam melaporkan, Shahri juga menegaskan, parti berkenaan sudah mengemukakan dokumen tambahan diperlukan RoS baru-baru ini bagi memperakui keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas pada Mei lalu.

Shahril berkata, semua dokumen yang diminta oleh RoS sudah dihantar dengan lengkap dan sewajarnya permohonan pindaan itu tiada isu untuk dilepaskan oleh agensi berkenaan.

"Dari segi teknikal dan logiknya, dokumen itu lengkap dan tidak ada isu, seterusnya UMNO boleh 100 peratus memberi tumpuan untuk menang pada pilihan raya umum (PRU).

"Namun, selagi RoS tidak keluar (keputusan), akan ada tanda soal dan kena terangkan pada ahli UMNO. Kita mahukan kepastian dan ketetapan supaya dapat fokus pada pilihan raya," katanya.

UMNO menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun 2021. Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan perlu diadakan sebelum 30 Disember depan.

Berdasarkan dokumen pindaan dibentangkan pada PAU Khas, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu, iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan.

Pada 7 Julai lalu, RoS memaklumkan, keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO itu akan diketahui selewat-lewatnya 16 Julai.

Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei lalu, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, agensi itu mempunyai masa hingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan berkenaan.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini sekiranya ROS tidak meluluskan permohonan itu atau menggunakan Pelan B jika memutuskan tidak meneruskan pemilihan dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak mendedahkan butiran Pelan B yang dinyatakannya.

Berita Harian X