Sabtu, 16 Julai 2022 | 5:35pm
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

'ROS kena ingat, kuasa PM lebih tinggi daripada KDN'

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disifatkan tiada alasan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan UMNO meminda perlembagaannya, kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sendiri selaku Naib Presiden parti sudah menyokong pindaan terbabit.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan kuasa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, lebih tinggi daripada Menteri Dalam Negeri yang berkuasa ke atas ROS.

Sehingga jam 5 petang ini, UMNO belum menerima sebarang keputusan daripada ROS berhubung permohonannya meminda perlembagaan bagi menangguhkan pemilihan kepemimpinan parti itu tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Asyraf Wajdi masih yakin, pindaan perlembagaan UMNO akan mendapat kelulusan ROS kerana Ismail Sabri sendiri turut menyokong pindaan perlembagaan itu yang ketika ia dibuat dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu.

"Saya yakin, kuasa Perdana Menteri lebih tinggi daripada kuasa Menteri yang bertanggungjawab.

"Pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan hanya selepas PRU adalah hasrat dan suara akar umbi ahli parti daripada 191 Bahagian dan 22,000 cawangan. Ia bukan ketetapan kepemimpinan.

"Akta ROS jelas memperuntukkan kuasa ROS untuk menjaga kepentingan ahli sesebuah organisasi. Tiada sebab untuk ROS menolak suara ahli UMNO yang jelas melalui proses perlembagaan parti bagi melakukan pindaan demi kepentingan organisasi dan ahli.

"Melainkan, jika ROS terpesong daripada peranan dan tanggungjawabnya dengan mengikut telunjuk pihak lain yang berkepentingan kerana kita tahu Menterinya adalah daripada parti pesaing UMNO," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 7 Julai lalu, ROS memaklumkan, keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai 2022.

Pada 13 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata walaupun ROS berada bawah kementeriannya, namun jabatan itu bebas dalam membuat sebarang keputusan.

Berita Harian X