Sabtu, 16 Julai 2022 | 3:58pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan penderma darah pada program 'Blood Donation Drive' 20212 di pusat beli-belah Mid Valley hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan penderma darah pada program 'Blood Donation Drive' 20212 di pusat beli-belah Mid Valley hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Negara kekurangan stok darah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah setiap hari bagi menampung permintaan tinggi dalam kalangan pesakit memerlukan.

Bagaimanapun Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah ketika ini berdepan kekurangan stok bekalan darah di seluruh negara dan pada masa sama permintaan dilaporkan terus meningkat.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai menderma darah secara berkala, sekali gus menjadikannya satu budaya hidup yang sihat.

"Saya difahamkan, setiap hari negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah yang mampu menampung kegunaan kira-kira 1,000 orang pesakit.

"Di Lembah Klang sahaja, PDN memerlukan 500 hingga 600 beg darah sehari," katanya yang menyeru semua kumpulan masyarakat membantu dengan menderma darah bukan sahaja bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi secara tidak langsung meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Blood Donation Drive di Centre Court, Mid Valley,anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG), di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden TSMCG, Datuk Zainuddin Mohd Radzi dan Pengarah PDN, Dr Afifah Hassan.

Menyentuh kempen derma darah 'Blood Donation Drive' anjuran TSMCGF dengan kerjasama PDN dan IGB Real Estate Investment Trust, beliau berkata, kolaborasi itu dijadikan acara tahunan sejak sembilan tahun lalu.

"Kempen ini diadakan selama dua hari iaitu hari ini dan esok di pusat beli-belah Mid Valley Megamall.

"Pada tahun lepas, sebanyak 567 beg darah telah berjaya diperolehi dan saya berharap jumlah kutipan darah bagi tahun ini akan meningkat lebih 600 beg, insya-Allah," katanya.

Beliau turut berbangga kerana TSMCGF menjadi salah satu pembekal dan penderma darah terbesar negara dengan kejayaan mengumpul lebih 15,000 beg darah sejak kempen berkenaan mula dilancarkan.

Muhyiddin turut merancang untuk memperluaskan kempen derma darah yang sebelum ini memberi tumpuan sekitar Lembah Klang ke negeri lain antaranya Johor dan Pulau Pinang.

Berita Harian X