Sabtu, 16 Julai 2022 | 11:18am

Hospital swasta kurang ubat rawat saluran pernafasan

KUALA LUMPUR: Hospital swasta berdepan kekurangan ubat-ubatan bagi merawat masalah saluran pernafasan atas berikutan kemasukan jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk melepaskan stok penimbal ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada klinik dan hospital swasta yang menghadapi masalah bekalan.

Katanya, APHM akan berbincang dengan Pharmaniaga Bhd berhubung mekanisma untuk mendapatkan ubat-ubatan berkenaan daripada stok penimbal kerajaan, dalam masa terdekat.

"Hospital swasta di seluruh negara kini dipenuhi oleh pesakit sejak dua bulan lalu bagi mendapatkan rawatan untuk pelbagai penyakit antaranya influenza dan prosedur pembedahan.

"Perkara ini adalah fenomena luar biasa bagi hospital swasta, namun ia mungkin disebabkan oleh pendedahan secara tiba-tiba kepada aktiviti sosial terutamanya selepas menjalani tempoh berkurung selama dua tahun (PKP)," katanya.

Bagaimanapun, Dr Kuljit, berkata jumlah pesakit COVID-19 di hospital swasta masih rendah berbanding 2021.

Semalam, KKM mengumumkan akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Langkah itu sementara menunggu pengeluaran lebih stabil dari kilang ubat-ubatan dalam tempoh dua bulan lagi.

Sementara itu, Dr Kuljit, berkata hospital swasta berdepan masalah kekurangan tenaga kerja untuk membuka lebih banyak perkhidmatan bagi memenuhi permintaan.

"Salah satu kekangan yang dihadapi oleh hospital swasta dan kerajaan adalah untuk mendapatkan jururawat terlatih yang berpengalaman.

"APHM akan berusaha sedaya upaya untuk bekerjasama dengan pengawal selia bagi membantu hospital swasta mendapatkan jururawat asing dengan menghapuskan birokrasi sedia ada," katanya.

Berita Harian X