Jumaat, 15 Julai 2022 | 3:14pm

Perwakilan AMK, Wanita PKR undi pilih 20 pimpinan sayap pusat

SHAH ALAM: Lebih 900 perwakilan Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengundi bagi memilih masing-masing 20 wakil untuk mengisi jawatan dalam barisan majlis pimpinan kedua-dua sayap itu di peringkat Pusat.

Sesi pengundian bagi Wanita PKR berlangsung kira-kira jam 11 pagi tadi, sebelum diteruskan sayap AMK pada sebelah petang ini.

Pengundian dijalankan di ruangan bilik mengundi khas yang disediakan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), di sini.

Seramai 490 pewakilan wanita hadir pada Kongres Nasional 2022 yang berlangsung sehari hingga petang ini, sementara 420 perwakilan hadir bagi AMK.

Tinjauan sesi pengundian dijalankan pagi tadi bagi sayap wanita berjalan lancar tanpa wujud pertikaian dan pergaduhan yang menganggu perjalanannya.

Keputusan pemilihan 20 wakil majlis pimpinan bagi kedua-dua sayap itu dijangka diumumkan secara rasmi dalam Kongres Nasional PKR 2022 yang membuka tirainya esok.

Esok juga dijadual berlangsung pengundian bagi memilih 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang turut berlangsung di IDCC.

Tempoh pencalonan bagi pemilihan 20 MPP, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian sebelum ini berakhir 31 Mei lalu.

Perwakilan wanita beratur menunggu giliran untuk pegundian pada Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. - NSTP/ FAIZ ANUAR
Perwakilan wanita beratur menunggu giliran untuk pegundian pada Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. - NSTP/ FAIZ ANUAR

JPP juga memaklumkan, seramai 74 calon terdiri pelbagai jawatan di peringkat Pusat dan negeri sudah menawarkan diri bagi merebut 20 tempat dalam MPP.

Antara pemimpin PKR yang mencalonkan diri bagi merebut jawatan MPP termasuk Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan serta Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Turut mencalonkan diri Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Baktiar Wan Chik; Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina @ Nor Azrina Surip; selebriti, Datuk Hans Isaac; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Low Hasid Hui dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

Perwakilan wanita mendaftar sebelum pegundian pada Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. - NSTP/ FAIZ ANUAR
Perwakilan wanita mendaftar sebelum pegundian pada Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. - NSTP/ FAIZ ANUAR
Berita Harian X