Jumaat, 15 Julai 2022 | 1:14pm
Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

KKM lepaskan stok penimbal ubat-ubatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Menteri, Khairy Jamaluddin, berkata setakat ini masih terdapat fasiliti antaranya klinik swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selesema.

Sehubungan itu, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan yang berdepan masalah bekalan.

"Stok penimbal kerajaan diuruskan oleh Pharmaniaga dan saya sudah mengarahkan semalam supaya dahulukan kepada klinik dan hospital swasta yang mempunyai keperluan.

"Langkah ini sementara menunggu pengeluaran lebih stabil dari kilang ubat-ubatan dalam tempoh dua bulan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Bengkel Transformasi Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, KKM mencari strategi bagi penyelesaian jangka sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan.

Mengulas mengenai laporan Arab Saudi mengesan kes cacar monyet pertama membabitkan individu di Riyadh, Khairy berkata setakat ini tiada laporan membabitkan jemaah haji Malaysia.

Bagaimanapun, katanya pihak menerima maklumat dari Singapura yang sudah mempunyai tiga kes jangkitan tempatan cacar monyet.

"Namun dua kes baharu ini tidak mempunyai sejarah melawat Malaysia, hanya yang pertama saja," katanya.

Berita Harian X