Khamis, 14 Julai 2022 | 6:07pm
Ismail Sabri berbual dengan kanak-kanak Orang Asli Kampung Chuat, Jerry Alfido, 9, pelajar Sekolah Kebangsaan Gemuruh pada Majlis Pelancaran Huawei Ruralstar Pro di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Ismail Sabri berbual dengan kanak-kanak Orang Asli Kampung Chuat, Jerry Alfido, 9, pelajar Sekolah Kebangsaan Gemuruh pada Majlis Pelancaran Huawei Ruralstar Pro di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Perkembangan digitalisasi perkara positif ketika pandemik - Ismail Sabri

BERA: Proses digitalisasi yang giat sejak penularan pandemik COVID-19 melanda, harus dilihat sebagai perkara positif yang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh PKP, hanya perkara negatif dilihat tanpa menyedari ada juga aspek positif, iaitu perkembangan dunia digital, termasuk dalam peniagaan di mana urusan secara dalam talian semakin berkembang.

"Sebagai contoh, seorang penjual bunga di daerah ini berjaya menjana RM2,000 melalui jualan secara digital berbanding RM400 jualan secara fizikal," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Huawei Ruralstar Pro dan Penyerahan Huawei Matepad kepada pelajar daerah ini, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh; Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 200 tablet jenama Huawei berserta kad sim Celcom diserahkan kepada pelajar yang memerlukan di daerah ini.

Ismail Sabri berkata, proses digitalisasi juga membolehkan kehidupan harian diteruskan sepanjang tempoh PKP tanpa mengganggu kelangsungan urusan, tidak hanya dalam produktiviti perniagaan, tetapi juga pendidikan.

"Ketika pandemik, pelajar tidak dibenarkan bersemuka dan hanya (belajar) melalui dalam talian. Ini perkembangan terbaru negara sewaktu PKP dilaksanakan. Meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang belum menerima manfaat daripada proses berkenaan," katanya.

Katanya, pelancaran RuralStar, sebuah peranti infrastruktur rangkaian teknologi telekomunikasi terkini yang dibangunkan oleh Huawei Malaysia, amat penting dalam memudahkan kesalinghubungan kepada komuniti yang sukar dijangkau

"Ia dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil, malah tidak memiliki infrastruktur komunikasi lengkap. RuralStar teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan jejak digital mereka.

"Melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing tinggi," katanya.

Mengucapkan tahniah kepada Huawei Malaysia dan Majlis Daerah Bera atas kerjasama bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk, beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha membawa arus kemajuan kepada semua peringkat masyarakat.

Menurutnya, usaha itu sesuai dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif serta saksama dan kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya, merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Katanya, dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pengukuhan dalam ekonomi digital terus diutamakan terutama sektor teknologi serta inovasi dan dengan pelancaran MEASAT 3-d, keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan sub luar bandar diharap lebih ditingkatkan.

"Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negera atau JENDELA pula bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025," katanya.

Berita Harian X