Rabu, 13 Julai 2022 | 8:00pm
Pegawai JAS dan Jabatan Perikanan Negeri Johor menjalankan ujian kualiti air di perairan selat Johor pada Sabtu lalu. - Foto JAS
Pegawai JAS dan Jabatan Perikanan Negeri Johor menjalankan ujian kualiti air di perairan selat Johor pada Sabtu lalu. - Foto JAS

Ribuan bangkai ikan susu mungkin hanyut dari negara jiran

JOHOR BAHRU: Ribuan bangkai ikan susu yang ditemukan terapung di Selat Johor di sini pada Sabtu lalu, dipercayai dihanyutkan dari perairan negara jiran.

Ketua Daerah Perikanan Johor Bahru, Norelah Sahmad, berkata ia berikutan pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada penternak tempatan berkaitan ternakan mereka.

Beliau berkata, bangkai ikan itu bukan saja mencemari perairan tempatan, malah boleh mengeluarkan bau busuk hingga mengganggu keselesaan nelayan dan penduduk sekitar.

Bangkai ikan susu mencemari perairan Selat Johor pada Sabtu lalu. - Foto Pembaca
Bangkai ikan susu mencemari perairan Selat Johor pada Sabtu lalu. - Foto Pembaca

"Sekiranya ikan berkenaan berpenyakit, ia boleh merebak kepada ikan yang diternak di laut dan boleh mengundang masalah tidak diingini. Kami menasihati semua pihak supaya tidak mengulangi perbuatan mencemari perairan termasuk membuang ternakan yang mati," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi, berkata kemungkinan bangkai berkenaan hanyut dari negara jiran.

"Siasatan bersepadu dijalankan JAS dan Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) baru-baru ini terhadap aduan penemuan bangkai ikan di perairan Selat Johor. Ujian dijalankan di lokasi mendapati tiada parameter air berada dalam keadaan tidak normal.

"Berdasarkan maklumat pengadu, bangkai ikan itu berkemungkinan datang dari penternak ikan di negara jiran. Namun, semakan ke kawasan industri berhampiran juga dilakukan bagi memastikan tiada premis yang menjadi dalang dalam kejadian ini.

"Semua pihak diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang menyumbang kepada pencemaran air," katanya meminta orang ramai melaporkan kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau eaduan@doe.gov.my.

Berita Harian X