Rabu, 13 Julai 2022 | 12:50pm
Roziah (tengah), Elnur Mamadov (kiri) dan Irfan Dadudov (kanan) pada pelancaran penanaman pokok 'Tree4Future' antara UiTM dan Azerbaijan di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Genes Gulitah
Roziah (tengah), Elnur Mamadov (kiri) dan Irfan Dadudov (kanan) pada pelancaran penanaman pokok 'Tree4Future' antara UiTM dan Azerbaijan di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Genes Gulitah

UiTM tawar menu serendah RM3.50 untuk pelajar di semua kampus

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan sebanyak 14 menu Keluarga Malaysia serendah RM3.50 menerusi lebih 400 penggerai di kampus induk dan cawangan secara berperingkat sejak 8 Julai lalu bagi meringankan kos perbelanjaan penuntut universiti.

Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata pelaksanaan itu mendapat persetujuan daripada penggerai yang menyatakan kesanggupan menyediakan menu berharga RM3.50 dengan syarat ia adalah menu khas, manakala pilihan menu lain masih boleh ditawarkan.

"Di UiTM kita ada lebih 400 penggerai di 35 kampus. Menu Keluarga Malaysia RM3.50 ini ada yang tiga hingga empat kuih, ada nasi dan lauk seperti nasi bersama ayam atau ikan dan sayur.

"Setiap gerai dicadangkan menu ini, tetapi menu dengan harga lain dikekalkan dan siapa ada wang lebih boleh beli kerana kakitangan, termasuk saya sendiri juga makan di situ, itu yang ditetapkan semalam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penanaman Pokok antara Republik Azerbaijan dan UiTM di Padang Pintu 1 UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Azerbaijan, Elnur Mamadov dan Duta Besar Azerbaijan di Malaysia, Irfan Davudov.

Roziah berkata, UiTM bersama seluruh universiti awam (UA) sudah mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu semalam dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dalam mesyuarat itu, katanya, pihak kementerian turut menegaskan kualiti makanan tidak boleh dikompromi dan perlu berkhasiat walaupun menu berharga RM3.50.

"Semalam, menteri minta UA mewujudkan Jawatankuasa Sara Hidup Siswa dan saya mempengerusikan bagi UiTM.

"Melalui jawatankuasa ini, kita akan menjalankan pemantauan dan saya sudah turun ke dua lokasi di Shah Alam untuk melihat harga yang ditawarkan.

"Jawatankuasa ini akan memastikan akan ada penggerai menawarkan harga RM3.50 membabitkan 14 menu dan sudah bermula di hampir semua gerai, contohnya Dataran Cendekia, Kafe Menara, Kompleks Sukan," katanya.

Mengulas mengenai program penanaman 15 pokok dengan kerjasama Republik Azerbaijan, termasuk pokok Merbau, Delima, Penaga Lilin, Roziah berkata, kedutaan Azerbaijan bersetuju menjayakan inisiatif TREE4FUTURE dengan objektif utama untuk meningkatkan kawasan hijau di dalam kampus seiring dengan misi UiTM untuk mencapai status Kampus Lestari (Kampus Hijau) menjelang tahun 2025.

"Program ini bertujuan mempromosikan Bandar Susha sebagai Pusat Kebudayaan Azerbaijan yang dibina pada abad ke-18 dan juga meraikan tahun ke - 270 Kota Susha (1752-2022)," katanya.

Berita Harian X